Euforia Bola 2026
40 Minggu

Betul Ke Minum Air Saffron Ketika Hamil Boleh Jadikan Anak Putih? Doktor Bongkar Fakta Sebenar

air saffron

Pelbagai petua tradisional sering dikongsikan terutama kepada ibu hamil yang mengharapkan bayi dilahirkan berkulit cerah. Selain petua seperti mengelakkan kicap ketika mengandung, satu lagi amalan yang sering menjadi perbualan ialah minum air saffron.

Baca juga: Harga Barang Semakin Naik, Ini 10 Barang Dapur Yang Lebih Jimat Dibeli Secara Borong

MINUM AIR SAFFRON BOLEH BUAT ANAK PUTIH? INI PENJELASAN DOKTOR

air saffron

Foto: Threads @ftn.nadhirah

Baru-baru ini, seorang pengguna di Threads berkongsi tip daripada pelakon dan usahawan terkenal iaitu Neelofa, kepada ibu hamil dengan menggalakkan pengambilan air rendaman saffron selepas kandungan memasuki usia empat bulan.

Menurut perkongsian tersebut, amalan itu disebut mampu membantu bayi dilahirkan dengan kulit yang lebih cerah.

Perkongsian berkenaan kemudiannya mengundang pelbagai reaksi netizen dan turut menarik perhatian pengamal perubatan yang tampil menjelaskan perkara sebenar di sebalik dakwaan tersebut.

Doktor Tegaskan Air Saffron Tidak Mempengaruhi Warna Kulit Bayi

air saffron

Foto: Threads @ftn.nadhirah

Seorang Pakar Bayi dan Kanak-Kanak dari Tawau, Sabah, Dr Deenish menjelaskan bahawa dakwaan tersebut tidak mempunyai asas saintifik.

Menurutnya, pengambilan saffron tidak memberikan sebarang kesan terhadap warna kulit bayi yang sedang dikandung kerana faktor warna kulit ditentukan oleh genetik yang diwarisi daripada ibu dan bapa.

Malah, beliau turut berseloroh bahawa jika saffron benar-benar mampu memutihkan kulit bayi, sudah tentu semua bayi yang lahir akan mempunyai warna kulit yang sama.

Pandangan sama turut dikongsikan oleh Doktor Kesihatan Wanita dan Kandungan, Dr Muhammad Izzat.

Menurutnya lagi, saffron tidak mampu:

  • Memutihkan kulit bayi
  • Menentukan warna mata bayi
  • Mengubah ciri-ciri genetik bayi

Beliau turut mengingatkan para ibu bahawa setiap bayi dilahirkan sempurna dengan keunikan tersendiri tanpa mengira warna kulit.

Apa Itu Saffron?

air saffron

Foto: Magnific

Memetik laporan kesihatan, saffron merupakan sejenis rempah yang dihasilkan daripada stigma bunga Crocus sativus.

Ia digunakan secara meluas dalam masakan sebagai perisa dan pewarna semula jadi selain turut digunakan dalam bidang perubatan tradisional.

Saffron juga dikenali sebagai antara rempah paling mahal di dunia kerana proses penuaian yang rumit dan memerlukan tenaga kerja yang tinggi.

Manfaat Sebenar Saffron Yang Ramai Tidak Tahu

Walaupun tidak boleh memutihkan kulit bayi, saffron mempunyai beberapa potensi manfaat kesihatan yang sedang dikaji oleh penyelidik.

Antaranya:

1. Kaya Dengan Antioksidan

Saffron mengandungi sebatian seperti crocin, crocetin, safranal dan kaempferol yang membantu melindungi sel badan daripada kerosakan akibat radikal bebas.

2. Berpotensi Membantu Memperbaiki Mood

Beberapa kajian menunjukkan pengambilan sekitar 30 miligram saffron sehari mungkin membantu mengurangkan simptom kemurungan ringan hingga sederhana.

3. Mempunyai Potensi Melawan Sel Kanser

Kajian makmal mendapati sebatian dalam saffron berpotensi menghalang pertumbuhan beberapa jenis sel kanser, namun lebih banyak kajian terhadap manusia masih diperlukan.

4. Mengurangkan Simptom PMS

Saffron turut dikaitkan dengan pengurangan simptom sindrom prahaid (PMS) seperti perubahan emosi dan ketidakselesaan fizikal.

5. Membantu Mengawal Selera Makan

Sesetengah kajian menunjukkan saffron mungkin membantu mengurangkan keinginan untuk snek berlebihan sekali gus menyokong pengurusan berat badan.

6. Meningkatkan Fungsi Seksual

Saffron turut dikategorikan sebagai bahan afrodisiak yang dipercayai boleh membantu meningkatkan libido dan kepuasan seksual.

7. Berpotensi Membantu Pesakit Alzheimer

Terdapat kajian awal yang menunjukkan saffron mungkin membantu meningkatkan fungsi memori dalam kalangan pesakit Alzheimer.

*Hakikatnya, warna kulit bayi ditentukan oleh kombinasi gen yang diwarisi daripada kedua-dua ibu bapa dan bukannya melalui pengambilan makanan atau minuman tertentu ketika hamil.

Justeru, ibu hamil dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan berbincang dengan doktor sebelum mengamalkan sebarang suplemen atau herba sepanjang kehamilan.

Apa yang lebih penting, fokuslah kepada pemakanan seimbang dan kesihatan ibu serta bayi berbanding terlalu memikirkan warna kulit yang bakal dimiliki si kecil.

Baca juga: Anak Pemandu Lori Harumkan Nama Kedah, Rangkul Gelaran Anugerah Pelajar Terbaik STPM Kebangsaan 2025

Sumber: Hello Doktor dan Threads @ftn.nadhirah

FT Images: Magnific

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×