Isu pengguguran bayi sering menjadi topik yang menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat, khususnya apabila melibatkan janin yang mengalami kecacatan serius atau masalah kesihatan yang kritikal.
HUKUM PENGGUGURAN BAYI KERANA CACAT

Foto: Magnific
Ada yang beranggapan pengguguran kandungan adalah haram secara mutlak, manakala ada pula yang tertanya-tanya sama ada Islam memberikan kelonggaran dalam situasi tertentu.
Sebenarnya, hukum pengguguran kandungan dalam Islam tidak boleh dilihat secara umum kerana ia bergantung kepada beberapa faktor penting termasuk usia kandungan dan keadaan kesihatan ibu serta janin.
Selepas 120 Hari, Pengguguran Bayi Haram, Kecuali Demi Nyawa Ibu
Menurut Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, kandungan yang telah mencapai usia 120 hari atau empat bulan dianggap telah ditiupkan roh.
Pada peringkat ini, hukum menggugurkan kandungan adalah haram dan tidak dibenarkan sama sekali kecuali jika kehamilan tersebut benar-benar mengancam nyawa ibu.
Ini bermakna faktor kecacatan janin sahaja tidak mencukupi untuk membolehkan pengguguran dilakukan selepas tempoh tersebut.
Sebelum 120 Hari, Ada Keadaan Tertentu Yang Dibenarkan

Foto: Magnific
Bagaimanapun, sebelum kandungan mencapai usia 120 hari, Islam memberikan ruang pertimbangan dalam beberapa keadaan tertentu.
Antaranya termasuk apabila janin disahkan mengalami kecacatan serius atau penyakit yang boleh menyebabkan kesukaran besar kepada ibu dan keluarga selepas kelahiran.
Namun begitu, keputusan tersebut tidak boleh dibuat berdasarkan sangkaan atau kebimbangan semata-mata.
Ia perlu disokong oleh pemeriksaan dan penilaian pakar perubatan yang berautoriti.
Tidak Boleh Buat Sesuka Hati
Fatwa turut menegaskan bahawa pengguguran kandungan bukanlah pilihan yang boleh dibuat sesuka hati atas alasan peribadi atau faktor keselesaan hidup.
Setiap kes perlu dinilai secara teliti dengan mengambil kira usia kandungan, tahap kecacatan janin, risiko terhadap kesihatan ibu serta pandangan pakar perubatan.
Malah, isu kecacatan janin juga tidak boleh diputuskan secara umum kerana setiap keadaan mempunyai tahap dan implikasi yang berbeza.
Perlu Pertimbangan Hukum Dan Nasihat Pakar
Justeru, keputusan untuk menggugurkan kandungan merupakan perkara yang sangat besar dan perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab.
Selain mendapatkan pandangan doktor pakar, pasangan yang berdepan situasi ini juga disarankan merujuk kepada pihak berautoriti agama bagi mendapatkan penjelasan hukum yang tepat mengikut keadaan sebenar.
Ini kerana setiap keputusan melibatkan nyawa dan masa depan anak yang dikandung, selain perlu selari dengan tuntutan syarak serta pertimbangan perubatan yang sewajarnya.
Baca juga: Betul Ke Minum Air Saffron Ketika Hamil Boleh Jadikan Anak Putih? Doktor Bongkar Fakta Sebenar
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Sembilan
