Bukan semua wira memakai uniform kerana pengorbanan bapa hadir dalam pelbagai bentuk. Ada yang menghabiskan masa membantu golongan memerlukan di jalanan, ada yang berjuang demi masa depan anak istimewa, dan ada yang tidak pernah jemu mengajak orang ramai melakukan kebaikan.
Atas jasa serta pengorbanan mereka, tiga individu telah menerima Anugerah Khas Inspirasi Bapa sempena Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2026.
PENGORBANAN BAPA DIIKTIRAF, 3 BAPA TERIMA ANUGERAH KHAS INSPIRASI BAPA 2026

Foto: Harian Metro dan Berita Harian
Penerima anugerah tersebut ialah:
- Mohd Adli Yahya, pengasas Autism Cafe Project
- Mohd Azhan Mohd Adnan atau lebih dikenali sebagai Abbe Hae, aktivis kebajikan
- Mohd Yusof Mohd Noor atau Abang Minyak Hitam Jalanan, aktivis sosial
Walaupun datang daripada latar belakang yang berbeza, ketiga-tiga mereka berkongsi satu persamaan iaitu menjadikan nilai seorang bapa sebagai inspirasi untuk berbakti kepada masyarakat.
Bermula daripada pengorbanan bapa

Foto: Berita Harian
Bagi Mohd Adli Yahya, segala usaha yang dilakukan bermula daripada rasa tanggungjawab terhadap anaknya yang menghidap autisme dan tidak mampu bertutur.
Perasaan bimbang terhadap masa depan anak mendorong beliau menubuhkan Autism Cafe Project, sebuah inisiatif yang membuka peluang pekerjaan kepada individu autisme selain membantu mereka membina keyakinan diri serta hidup lebih berdikari.
Dia berkata, usaha itu bukan dilakukan untuk anaknya semata-mata, sebaliknya supaya lebih ramai individu autisme mendapat peluang yang sama untuk membina masa depan yang lebih baik.
Dari sediakan makanan, kini bantu gelandangan

Foto: Facebook Abbe Hae
Bagi Abbe Hae pula, perjalanan sebagai aktivis kebajikan bermula dengan hasrat isterinya menyediakan makanan kepada jemaah masjid setiap hari Jumaat.
Namun, usaha kecil itu akhirnya berkembang sehingga dia aktif membantu golongan gelandangan dan anak-anak lorong di sekitar Lorong Haji Taib dan Chow Kit, Kuala Lumpur.
Menurutnya, pengalaman mendekati mereka memberikan kepuasan dan ketenangan yang sukar digambarkan kerana dapat melihat sendiri kesan bantuan yang dihulurkan.
‘Abang Minyak Hitam’ terus sebarkan kebaikan

Foto: Harian Metro
Sementara itu, Mohd Yusof atau Abang Minyak Hitam Jalanan terus dikenali menerusi pelbagai aktiviti kebajikan serta kandungan media sosial yang mengajak orang ramai melakukan kebaikan.
Dia mengakui tidak pernah menyangka usaha yang dilakukan secara ikhlas akhirnya membawa kepada pengiktirafan tersebut.
Nama beliau sebelum ini turut mendapat perhatian ramai selepas kisah membantu seorang lelaki berbangsa Cina dikenali sebagai Dicky tular di media sosial.
Bapa bukan sekadar pencari nafkah
Dalam majlis sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, peranan bapa hari ini bukan sekadar menyediakan keperluan keluarga.
Sebaliknya, bapa perlu menjadi pembimbing, pendengar dan contoh teladan kepada anak-anak dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan moden seperti tekanan kos sara hidup, pengaruh media sosial dan perubahan sosial yang semakin pantas.
Anugerah Khas Inspirasi Bapa ini menjadi bukti bahawa gelaran seorang bapa bukan hanya diukur melalui pertalian darah, tetapi juga melalui kasih sayang, keikhlasan dan kesediaan berkorban demi membawa perubahan positif kepada keluarga serta masyarakat.
Baca juga: Netizen Persoal Kesahihan Buku Dakwah Viral, Dakwa Ada Potongan Al-Quran Palsu & Hadis Status Dhaif
Sumber: Astro Awani
