Ramai dalam kalangan pasangan suami isteri muda membayangkan dengan kehadiran cahaya mata menjadi pelengkap keluarga bahagia. Namun, realitinya… tidak semua hubungan suami isteri itu dijangka indah selamanya.
Ada masanya, selepas lahirnya anak pertama hubungan bersama pasangan terasa makin jauh bukan sebab kurang sayang, tetapi penat dan rutin seharian yang memenuhkan kepala.
HUBUNGAN SUAMI ISTERI JADI RENGGANG LEPAS ADA ANAK, WANITA KONGSI AMAL RUTIN “REFILL TANGKI CINTA”

Foto: freepik
Situasi inilah yang dikongsikan seorang wanita di media sosial yang menceritakan di sebalik senyuman menyambut kelahiran si kecil, dia mengaku kehilangan satu bahagian penting dalam hidupnya iaitu kemesraan dengan suami.
“Saya rasa kami lupa nak jadi suami isteri. Yang tinggal cuma peranan ibu dan ayah..”
Wanita di laman Threads @waniezaidi itu menceritakan, sejak bergelar ibu, fokus hidupnya berubah 100% kepada bayi. Kisahnya apabila dia disahkan hamil sejurus selepas berkahwin, dan perasaan ketika itu bercampur-baur gembira tapi dalam masa sama risau kerana hanya mempunyai sembilan bulan untuk menikmati masa berdua sebelum hidup berubah.
Selepas melahirkan, emosi postpartum dan fasa menyesuaikan diri sebagai ibu baharu membuatkan hubungan suami isteri semakin renggang.
“Saya perasan saya makin kurang berinteraksi dengan suami. Hidup macam autopilot… semua tentang anak..” luahnya.
Keadaan itu berterusan sehingga dia kembali bekerja selepas cuti bersalin. Ketika rutin harian mula stabil, barulah dia sedar sesuatu perlu dilakukan.
‘Refill Tangki Cinta Day’: Satu Hari Sebulan Untuk Suami & Isteri Sahaja

Foto: freepik
Dari situ, timbul idea untuk mewujudkan hari istimewa yang dinamakan ‘Refill Tangki Cinta Day’ iaitu hari untuk mereka berdua sahaja tanpa anak.
Tak perlu besar-besaran, kadang-kadang mereka hanya keluar makan tengah hari berdua atau ada masa mereka ambil cuti separuh hari untuk tengok wayang. Yang penting adalah masa berkualiti. Selepas beberapa bulan mengamalkannya, kesannya sangat ketara.
“Kami lebih ceria, lebih connected. Bila bersama anak, kami hadir sepenuhnya—bukan penat dan kosong..” tulisnya.
Wanita itu juga percaya, menjaga hubungan suami isteri bukan hanya penting untuk diri sendiri, tetapi untuk emosi anak.
“Anak hadir daripada kasih sayang ibu ayah. Kalau kita sendiri tak jaga hubungan, macam mana dia nak belajar erti sayang?”
Menurut doktor dan pempengaruh kesihatan, Dr. Samhan, ada beberapa cara mudah yang pasangan boleh lakukan untuk kembalikan kemesraan macam zaman baru kahwin dulu:
- Peluk pasangan 3 kali sehari
- Suap pasangan ketika makan
- Makan bersama tanpa telefon
- Pillow talk sebelum tidur
- Saling memberi pujian
Akhir kata, membesarkan anak memang memerlukan pengorbanan, tapi hubungan suami isteri tak boleh dibiarkan hilang begitu sahaja. Kadang-kadang topup sedikit tangki cinta, hidup rumah tangga kembali hangat seperti zaman muda!
Sumber: Threads @waniezaidi_
