Dalam sesebuah rumah tangga, perkara yang dianggap kecil oleh seseorang belum tentu dipandang sama oleh pasangannya. Itulah yang mencetuskan perdebatan hangat di media sosial, apabila seorang wanita meluahkan rasa kecewa selepas suaminya menghadiahkan satu set alat solek premium yang dimenanginya kepada rakan sekerja wanita.
Luahan itu mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya. Ramai berpendapat isu sebenar bukanlah tentang hadiah tersebut, sebaliknya soal penghargaan, keutamaan dan pertimbangan terhadap perasaan pasangan.
Baca juga: Ramai Ingat Penat, Rupanya Ini Sebab Suami Cepat Mengantuk Selepas Hubungan Intim!
ISTERI KECEWA TINDAKAN SUAMI SELEPAS MENANG ALAT SOLEK PREMIUM

Gambar tular di Threads
Menurut wanita itu, suaminya menghadiri satu majlis makan tengah hari anjuran syarikat yang melibatkan kakitangan sahaja. Pada majlis tersebut, suaminya bertuah apabila dipilih sebagai pemenang satu set penjagaan kulit dan alat solek premium yang bernilai tinggi.
Namun apa yang membuatkan dirinya benar-benar kecewa ialah suaminya terus menyerahkan keseluruhan hadiah itu kepada seorang rakan sekerja wanita di hadapan orang ramai. Baginya, tindakan itu seolah-olah langsung tidak mengambil kira kewujudan isterinya sendiri.
Bergambar bersama sebelum dimuat naik di akaun rasmi syarikat
Lebih menyakitkan hati, suaminya pulang ke rumah sambil ketawa dan menceritakan perkara tersebut dengan bangga kerana merasakan dirinya telah bermurah hati.
Bukan itu sahaja, pihak syarikat turut mengambil gambar suaminya bersama rakan sekerja wanita tersebut sambil memegang hadiah berkenaan sebelum memuat naiknya ke media sosial rasmi syarikat.
Ketika semua itu berlaku, wanita tersebut berkata dia berada di rumah menguruskan anak, membersihkan rumah dan menyediakan makan malam buat suaminya.
Sebaik mendengar cerita tersebut, dia mengakui dirinya terus menangis kerana berasa sangat tidak dihargai.
“Saya langsung tidak terlintas di fikirannya”
Menurut wanita itu, apa yang paling melukakan bukanlah nilai hadiah berkenaan, tetapi hakikat bahawa suaminya tidak pernah memikirkan dirinya sebelum membuat keputusan.
Dia merasakan suaminya lebih mengutamakan pujian orang ramai kerana dianggap sebagai seorang lelaki yang baik berbanding menghargai perasaan isterinya sendiri.
Apabila dia menyuarakan rasa kecewa, suaminya pula menganggap dia terlalu dramatik dan cemburu.
Suaminya turut menjelaskan bahawa dia berasa tidak sesuai jika seorang lelaki menerima hadiah alat solek di hadapan semua orang dan beranggapan sukar untuk menolak situasi tersebut ketika itu.
Namun bagi wanita berkenaan, alasan tersebut tidak mengubah hakikat bahawa dia tetap berasa dipinggirkan.

Gambar hiasan: Gemini AI
Warga maya anggap isu sebenar ialah penghargaan terhadap pasangan
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya yang rata-ratanya bersimpati dengan wanita berkenaan.
Ada yang berpendapat suaminya bukan sahaja gagal mempertimbangkan perasaan isteri, malah cuba membuatkan isterinya merasakan emosinya tidak berasas dengan melabelkannya sebagai seorang yang cemburu.
“Bayangkan kalau si isteri pula menang sebuah PS5, kemudian menghadiahkannya kepada rakan sekerja lelaki dan bukannya suaminya,” komen seorang lelaki.
“Perkara ini memang akan sangat melukakan hati saya. Saya faham apa yang awak rasa. Saya benar-benar simpati,” komen pula wanita lain.
Bagi kebanyakan warga maya, isu sebenar bukanlah kerana alat solek atau nilai hadiah yang dimenangi, tetapi rasa tidak dipertimbangkan oleh pasangan ketika membuat keputusan.
Walaupun setiap rumah tangga mempunyai cara tersendiri dalam menguruskan hubungan, ramai berpendapat tindakan kecil yang menunjukkan pasangan sentiasa menjadi keutamaan mampu memberi makna yang besar dalam sesebuah perkahwinan.
Sumber: Threads
