Berada di penghujung tahun, sudah semestinya kebanyakan ibu bapa sudah mula mencari tempat-tempat menarik untuk dilawati bersama anak-anak. Kalau nak tahu, di negeri Adat Perpatih terdapat satu hidden gems yang ramai tak tahu iaitu Balai Cerap Negeri Sembilan.
Balai cerap Negeri Sembilan semakin menjadi tumpuan ramai, khususnya menjelang musim cuti sekolah, apabila menawarkan pengalaman unik menggabungkan pembelajaran, pelancongan dan penerokaan dunia astronomi untuk semua peringkat usia.
Baca juga: Top 3 Negara Mak Ayah Suka Bawa Anak, No.1 Memang Tak Boleh Lawan!
TELESKOP TERBESAR MALAYSIA ADA DI BALAI CERAP NEGERI SEMBILAN
Terletak di Teluk Kemang, Port Dickson, Balai Cerap Negeri Sembilan atau dikenali sebagai Kompleks Baitul Hilal merupakan antara destinasi astro-pelancongan utama di Malaysia.
Ia bukan sahaja menjadi pusat cerapan rasmi, malah dibuka kepada orang awam yang ingin melihat sendiri keindahan langit malam, bulan, planet dan objek cakerawala lain.
Lebih menarik, di sinilah terletaknya teleskop terbesar di Malaysia dengan diameter kanta 24 inci (61 sentimeter) yang membolehkan cerapan terperinci permukaan Bulan dan planet tertentu.
FASILITI BALAI CERAP NEGERI SEMBILAN
Berikut antara fasiliti utama yang ditawarkan di Balai Cerap Negeri Sembilan:

1. Galeri Utama
- Galeri ini menggabungkan elemen pembelajaran dan hiburan menerusi pameran astronomi dan sains angkasa.
- Pengunjung dapat menelusuri sejarah penubuhan balai cerap, melihat sampel meteorit sebenar serta memahami sistem suria melalui paparan visual interaktif.
2. Bilik Teater
- Bilik Teater berfungsi sebagai ruang pembelajaran untuk sesi taklimat, ceramah dan bengkel berskala kecil dengan kapasiti sekitar 25 orang pada satu masa.
- Ia turut memaparkan infografik tokoh-tokoh ilmuwan Islam dalam bidang falak serta peta langit interaktif untuk mengenali buruj dan objek cakerawala.
3. Bilik Cerapan Hilal
- Ruang khas ini memberi pendedahan tentang konsep anak bulan (hilal) dan kepentingannya dalam penentuan bulan Hijrah.
- Di sini terdapat pelbagai infografik berkaitan hilal serta anjung cerapan terbuka yang digunakan semasa cerapan rasmi Ramadan dan Syawal.

4. Kubah Suria
- Kubah Suria menempatkan teleskop khas untuk cerapan Matahari pada waktu siang.
- Pengunjung berpeluang melihat fenomena seperti tompok suria, kembungan dan nyalaan suria secara selamat, tertakluk kepada keadaan cuaca semasa.
5. Anjung Tinjau
- Terletak di tingkat lima, Anjung Tinjau merupakan ruang cerapan tertutup dengan paparan interaktif berkaitan astronomi.
- Pada waktu siang, pengunjung juga boleh menikmati pemandangan indah Selat Melaka melalui tingkap yang luas.
6. Kubah Utama
- Kubah Utama menempatkan teleskop terbesar di Malaysia yang diimport dari Amerika Syarikat.
- Teleskop berkuasa tinggi ini membolehkan cerapan Bulan dan planet dengan jelas, selain dilengkapi skrin LED untuk sesi perkongsian bersama pengunjung.
Secara keseluruhan, Balai Cerap di Negeri Sembilan bukan sekadar destinasi untuk ahli astronomi, malah sesuai untuk pelajar, keluarga dan orang awam yang ingin belajar sambil beriadah.
Ia juga menjadi alternatif menarik untuk mengisi cuti sekolah dengan aktiviti berfaedah dan berunsur ilmu.
TEMPAHAN & LAWATAN
- Lawatan ke balai cerap ini dibuka kepada orang awam termasuk lawatan berkumpulan dengan membuat tempahan lebih awal.
- Tempahan kumpulan melebihi 20 orang boleh menghubungi pihak pengurusan melalui e-mel di [email protected] atau di talian Whatsapp 010-2664506.
- Maklumat lanjut berkaitan waktu operasi dan harga tiket boleh didapati di laman web rasmi Balai Cerap Negeri Sembilan.
Sumber: Portal Balai Cerap Negeri Sembilan
FT Image: Portal Balai Cerap Negeri Sembilan
