Menerima emel audit daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memang boleh buat jantung berdegup laju, lebih-lebih lagi jika tiba-tiba diminta kemukakan dokumen lama. Bagi yang berdepan situasi resit hilang atau tidak cukup, jangan terus panik kerana ada beberapa langkah yang boleh membantu anda uruskan audit dengan lebih tenang.
Baca juga: KPM Buka Pengambilan Tingkatan Enam Tahfiz 2026/2027, Adik-Adik Lepasan SPM Boleh Mohon Sekarang!
3 CARA TANGANI RESIT HILANG UNTUK AUDIT LHDN

Gambar hiasan: Gemini AI
Perkara ini menjadi perhatian ramai selepas seorang pengguna Threads, @malyne_ezazee, meluahkan rasa cuak apabila menerima emel daripada LHDN yang meminta semua resit bagi taksiran tahun 2024.
Luahannya turut mendapat perhatian ramai kerana situasi tersebut sebenarnya dialami oleh ramai pembayar cukai.
Menurut perkongsian akaun My Cukai Max, yang kerap berkongsi info berguna tentang percukaian, situasi ini bukanlah mimpi buruk yang tak boleh diuruskan. Anda masih boleh uruskan dokumen walaupun resit pembelian tidak cukup atau hilang.
1. Jika resit hilang, masih ada bukti lain yang boleh digunakan
Ramai menyangka audit LHDN memerlukan resit asal semata-mata, tetapi sebenarnya terdapat alternatif lain yang boleh digunakan sebagai bukti sokongan.
Antara dokumen yang boleh membantu termasuk:
- Penyata bank yang menunjukkan transaksi berkaitan
- Rekod pembelian dalam talian (online purchase history)
- Invois digital atau e-mel pengesahan pembelian
Perkongsian ini turut ditegaskan oleh akaun Threads @mycukaimax, yang menjelaskan bahawa dokumen seperti penyata bank boleh diterima sebagai bukti sokongan sekiranya resit tidak ditemui.
2. Resit tak cukup? Hantar sahaja apa yang ada
Jika anda masih menyimpan sebahagian resit tetapi tidak lengkap, langkah terbaik ialah serahkan sahaja dokumen yang ada kepada pihak LHDN.
Menurut perkongsian tersebut, pihak LHDN biasanya tidak akan menolak keseluruhan tuntutan. Sebaliknya, mereka hanya akan melaraskan (add back) bahagian yang tidak disertakan bukti.
Ini bermakna tuntutan yang mempunyai dokumen lengkap masih boleh diterima, manakala hanya bahagian tertentu sahaja yang akan disemak semula.
3. Ada pelepasan cukai yang memang tidak perlukan resit
Tidak semua pelepasan cukai memerlukan resit untuk pengesahan. Terdapat beberapa pelepasan automatik yang boleh disahkan melalui rekod rasmi.
Antaranya:
- Pelepasan individu sehingga RM9,000
- Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
- Caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO)
Ini bermakna jika melibatkan kategori pelepasan tersebut, anda tidak perlu risau walaupun berlaku situasi resit hilang.
Baca juga: Kad Touch ‘n Go Hilang Atau Tamat Tempoh? Ini Cara Mudah ‘Refund’ Baki Wang!

Gambar hiasan: Gemini AI
SIMPAN RESIT DIGITAL UNTUK ELAK MASALAH MASA DEPAN
Sebagai langkah pencegahan, orang ramai digalakkan untuk menyimpan resit dalam bentuk digital seperti gambar atau fail PDF. Kaedah ini memudahkan proses rujukan sekiranya diperlukan pada masa akan datang.
Selain itu, jika anda kurang pasti tentang prosedur audit, anda boleh terus mendapatkan panduan daripada pihak LHDN melalui talian rasmi mereka 03-8911 1000.
Langkah ini penting kerana kegagalan mengemukakan dokumen sokongan boleh menyebabkan:
- Tuntutan pelepasan cukai ditolak
- Jumlah cukai yang perlu dibayar meningkat
- Risiko dikenakan denda atau penalti
Justeru, walaupun situasi resit hilang boleh menimbulkan kebimbangan, ia sebenarnya masih boleh diuruskan dengan langkah yang betul dan dokumentasi alternatif yang sesuai.
Baca juga: Cara Mudah Buat Sijil Guna Google Form, Lebih Pantas Kerja Cikgu Lepas Ini!
Sumber: Threads @mycukaimax
FT Image: Gemini AI
