Euforia Bola 2026
Sihat

Ramai Sangka Penyakit Tibi Dah ‘Hilang’, Ini 7 Gejala Yang Boleh Berjangkit Tanpa Disedari…Risau!

tanda penyakit tibi

Ramai menyangka penyakit Tibi (Tuberkulosis) sudah lama ‘hilang’ atau hanya berlaku pada zaman dahulu. Hakikatnya, tanda penyakit Tibi masih wujud dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja terutama apabila berlaku kontak rapat dalam tempoh yang lama di ruang tertutup.

Terbaharu, satu kluster Tibi dikesan di Kota Tinggi dan hasil saringan kesihatan ke atas 804 kontak rapat, pihak kesihatan mengesahkan 33 individu positif Tibi setakat 4 Februari lalu.

Baca juga: [TERKINI] Kluster Tibi Dikesan Di Kota Tinggi, 33 Orang Positif Daripada 804 Yang Disaring!

TANDA PENYAKIT TIBI YANG RAMAI TAK SEDAR, BATUK BUKAN SEBARANGAN BATUK…

tanda penyakit tibi

Foto: freepik

Namun, ini bukan cerita untuk mencetuskan panik. Sebaliknya, ia satu peringatan penting supaya orang ramai lebih peka dan bertindak awal. Bagaimana Tibi merebak?

Tibi merebak melalui udara, terutamanya apabila seseorang yang dijangkiti batuk, bersin atau bercakap dalam ruang tertutup. Risiko jangkitan menjadi lebih tinggi jika:

  • Tinggal serumah
  • Bekerja rapat setiap hari
  • Berkongsi ruang tertutup untuk tempoh lama

Yang membimbangkan, peringkat awal Tibi boleh berlaku tanpa gejala jelas, menyebabkan ramai tidak sedar mereka telah dijangkiti. Jika anda atau orang terdekat mengalami simptom berikut, jangan anggap ia batuk biasa:

  • Batuk berpanjangan lebih 2 minggu
  • Demam yang tidak surut
  • Berpeluh malam
  • Berat badan turun tanpa sebab
  • Hilang selera makan
  • Sakit dada
  • Batuk berdarah atau kahak bercampur darah

Gejala-gejala ini mungkin muncul secara perlahan, tetapi kesannya boleh menjadi serius jika rawatan dilewatkan.

Bagaimana Saringan Tibi Dilakukan?

tanda penyakit tibi

Foto: freepik

Di fasiliti kesihatan, pemeriksaan biasanya dilakukan melalui beberapa langkah:

  • Saringan risiko di klinik kesihatan (temu bual & pemeriksaan fizikal)
  • X-ray dada untuk melihat keadaan paru-paru
  • Ujian kahak, khusus untuk individu bergejala atau disyaki
  • Saringan kontak rapat, walaupun anda berasa sihat

Langkah ini penting kerana jangkitan awal Tibi boleh ‘senyap’ tanpa tanda ketara. Jadi, jika anda tinggal serumah dengan individu disyaki atau disahkan Tibi, bekerja rapat setiap hari dan kerap berkongsi ruang tertutup, jangan tunggu simptom menjadi serius. Datanglah ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan.

Lebih awal Tibi dikesan, lebih cepat rawatan boleh dimulakan dan lebih pantas rantaian jangkitan dapat diputuskan. Kesedaran awal bukan untuk menakutkan, tetapi untuk melindungi diri, keluarga dan komuniti.

Baca juga: Hampir Setiap Malam Terjaga Ke Tandas Sebab Nak Kencing, Rupanya Ini Tanda Badan Sedang ‘Minta Tolong’!

Sumber: Public Health Malaysia

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×