Isu kesihatan membabitkan murid di Kota Tinggi mencuri perhatian apabila enam pelajar disahkan menghidap Tuberkulosis (tibi) hasil saringan kontak rapat yang dijalankan pihak berkuasa kesihatan.
Difahamkan, enam murid terbabit terdiri daripada empat murid lelaki dan dua murid perempuan, namun setakat ini tiada sebarang arahan penutupan sekolah dikeluarkan susulan penularan penyakit berkenaan.
Baca juga: [TERKINI] Kluster Tibi Dikesan Di Kota Tinggi, 33 Orang Positif Daripada 804 Yang Disaring!
ENAM MURID DI KOTA TINGGI DISAHKAN MENGHIDAP TIBI

Gambar BERNAMA: PENDUDUK Felda Sungai Mas, keluar dari Klinik Kesihatan Bandar Mas, Jabatan Kesihatan Kota Tinggi, dengan memakai pelitup muka berikutan Felda Sungai Mas, antara lokaliti yang dikesan dengan kluster Tuberkulosis (Tibi) ketika tinjauan Bernama, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, situasi penularan tibi melibatkan murid di Kota Tinggi berada dalam keadaan terkawal serta dipantau rapi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kerajaan negeri mengambil maklum berhubung penularan penyakit tibi yang membabitkan murid sekolah di daerah Kota Tinggi.
“Semua murid terbabit sudah diarahkan menjalani kuarantin serta menerima rawatan sewajarnya dan berada dalam pemantauan rapi KKM mengikut prosedur kesihatan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Menurut Aznan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Tinggi turut turun ke sekolah terlibat bagi mengadakan sesi perjumpaan dan penerangan bersama pihak pengurusan sekolah.
Katanya, sesi tersebut bertujuan memberi penjelasan berkaitan penyakit tibi, termasuk langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil oleh pihak sekolah, murid serta ibu bapa bagi mengelakkan penularan lanjut.
Baca juga: Sempena Tahun Baharu Cina, Kenderaan Barangan Dilarang Guna Jalan Raya Pada Tarikh-Tarikh Ini!

Gambar hiasan Getty Images: Pemeriksaan X-ray menunjukkan keadaan paru-paru pesakit tibi.
Dalam masa sama, Aznan menegaskan semua sekolah perlu sentiasa mematuhi garis panduan dan arahan yang dikeluarkan KKM, khususnya berkaitan aspek kebersihan, pemantauan kesihatan murid serta tindakan susulan yang disarankan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau berita palsu berkaitan kes murid di Kota Tinggi kerana ia boleh mencetuskan kebimbangan dan panik dalam kalangan masyarakat.
“Sebarang maklumat rasmi hendaklah dirujuk kepada kenyataan KKM atau saluran rasmi Kerajaan Negeri Johor,” katanya.
Tambah Aznan, Kerajaan Negeri Johor kekal komited dalam memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga sekolah terus terpelihara menerusi kerjasama berterusan bersama KKM dan semua pihak berkaitan.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, satu kluster tibi direkodkan di Kota Tinggi dengan sebanyak 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat yang dijalankan bermula 25 Januari lalu hingga Rabu lalu.
Dzulkefly turut mengesahkan satu kematian dilaporkan dalam kluster berkenaan, namun menegaskan bahawa kematian tersebut bukan disebabkan oleh jangkitan tibi.
Baca juga: [TERKINI] KPM Umum Pengambilan 20,000 Guru Baharu, Permohonan Dibuka 2 Mac Ini!
Sumber: Harian Metro
FT Image: BERNAMA
