Kawasan Bukit Bintang yang terkenal sebagai antara pusat pelancongan dan hiburan utama di ibu negara bakal mempunyai surau Jumaat yang lebih selesa bagi memudahkan umat Islam menunaikan ibadah di tengah kesibukan kota.
KERAJAAN RANCANG WUJUDKAN SURAU JUMAAT DI BUKIT BINTANG

Foto: Klook
Usaha tersebut sedang diteliti oleh kerajaan menerusi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh kemudahan ibadah dan aktiviti dakwah di kawasan bandar padat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata usaha untuk mewujudkan surau Jumaat di kawasan itu sedang dipercepatkan bagi memberi kemudahan kepada masyarakat Islam termasuk pekerja, pelancong serta pengunjung sekitar Bukit Bintang.
“Jika tiada halangan, Bangunan Yayasan Selangor yang terletak betul-betul di persimpangan ‘Shibuya’ Bukit Bintang akan dijadikan sebagai surau atau masjid,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Cadangan itu dilihat mampu memberi manfaat besar kepada umat Islam memandangkan kawasan Bukit Bintang sering dipenuhi orang ramai, khususnya pada hujung minggu dan waktu puncak.
Fokus Berdakwah Dan Kebajikan

Foto: Facebook YB Senator Dr. Zulkifli Hassan
Menurutnya lagi, beliau bersama pasukan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebenarnya sudah menggerakkan pelbagai program dakwah lapangan dan kebajikan di sekitar Bukit Bintang serta Chow Kit sejak dua tahun lalu.
Katanya, pendekatan yang digunakan lebih menumpukan kepada dakwah dengan menyebarkan mesej kasih sayang, bantuan kemasyarakatan dan sokongan kepada golongan memerlukan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama beberapa agensi agama yang banyak membantu menjayakan usaha tersebut.
“Alhamdulillah, syukur atas gerak kerja pantas semua agensi terlibat dalam usaha dakwah berhikmah ini,” katanya.
Usaha Turut Diperluaskan Ke Chow Kit Dan Kawasan Lain
Selain Bukit Bintang, kerajaan turut memberi tumpuan kepada kawasan lain seperti Chow Kit bagi memperluaskan akses kemudahan ibadah kepada masyarakat Islam di kawasan bandar.
Beliau berkata, visi jangka panjang kerajaan adalah untuk membina masjid demi memastikan umat Islam dapat beribadah dengan lebih mudah walaupun berada di kawasan pusat bandar yang sibuk.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha berkenaan bukan sekadar membina tempat ibadah semata-mata, tetapi juga bertujuan menjadikan masjid dan surau sebagai pusat komuniti, dakwah serta kebajikan kepada masyarakat setempat.
Sumber: Facebook YB Senator Dr. Zulkifli Hassan dan Harian Metro
FT Images: Facebook YB Senator Dr. Zulkifli Hassan dan Klook
