Euforia Bola 2026
Nur

Sultan Selangor Tidak Perkenan Solat Jumaat Di Surau Pusat Beli-Belah, Ini 5 Sebabnya!

solat jumaat

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengambil maklum pendirian Kerajaan Persekutuan melalui kenyataan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berhubung dengan cadangan mewujudkan surau solat Jumaat di pusat beli-belah di seluruh negara.

MAIS menegaskan bahawa perkara berkaitan masjid atau surau/musolla adalah terletak di bawah senarai Negeri selaras dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Baca juga: “Bukan Nak Rampas Tempat Pelajar Tempatan”- Pelajar China Tiba-Tiba Ramai Di IPTA, Apa Sedang Berlaku?

SULTAN SELANGOR TIDAK PERKENAN SOLAT JUMAAT DI PUSAT BELI-BELAH

solat jumaat

Gambar hiasan: Gemini AI

Di Negeri Selangor, DYMM Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam mempunyai kuasa prerogatif untuk membuat apa-apa ketetapan berhubung dengan pentadbiran agama Islam termasuk ketetapan kebenaran solat Jumaat bagi surau/ musolla.

Di samping itu, penubuhan masjid dan surau serta penggunaan mana-mana bangunan sebagai masjid atau surau/musolla adalah tertakluk kepada kebenaran bertulis MAIS di bawah seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Justeru, selaras dengan kuasa prerogatif DYMM Sultan Selangor, MAIS telah dimaklumkan bahawa buat masa ini Baginda Sultan tidak memberi perkenan untuk mana-mana surau/musolla di pusat beli belah di Negeri Selangor diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat.

Baca juga: Sakit Mata Tengok! Tular Wanita Disyaki Warga Asing Sidai Baju Di Tepi Jalan Awam, MBDK Beri Respons

KETETAPAN DIBUAT BERDASARKAN 5 FAKTOR INI

1. Demi mengimarahkan masjid sedia ada

Sekiranya surau/musolla di pusat beli-belah dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat, ianya akan menjejaskan usaha untuk memakmurkan dan mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadat umat Islam.

Hal ini kerana ia boleh menyebabkan jumlah jemaah di masjid-masjid serta surau solat Jumaat sedia ada berkurangan kerana umat Islam mempunyai pilihan untuk mendirikan solat Jumaat di surau/musolla di pusat beli-belah.

2. Kemudahan sedia ada sudah mencukupi

Pada masa ini, terdapat 448 buah masjid dan 379 buah surau yang diberikan kebenaran solat Jumaat di Negeri Selangor.

Jumlah ini menunjukkan masjid dan surau yang dibenarkan solat Jumaat mencukupi serta mampu menampung jumlah umat Islam sedia ada bagi mendirikan solat Jumaat di Selangor.

Sebagai tambahan, terdapat juga masjid dan surau yang berada berhampiran dengan pusat beli-belah bagi memudahkan orang awam untuk mendirikan solat Jumaat di masjid dan surau solat Jumaat tersebut.

3. Menjaga kesucian dan syiar solat Jumaat

Solat Jumaat merupakan ibadah penting dan mulia bagi umat Islam dan ianya lebih sesuai didirikan di dalam masjid dan surau yang khusus dibina untuk umat Islam mengerjakan ibadah berbanding dengan pelaksanaannya di surau/musolla yang berada di pusat beli-belah yang lazim dikaitkan sebagai tempat perniagaan, hiburan dan rekreasi bagi orang ramai tanpa mengira kaum dan agama.

Bagi umat Islam yang bekerja pula, masa rehat yang ditetapkan adalah mencukupi untuk mereka bergerak ke masjid atau surau solat Jumaat yang berhampiran bagi mendirikan solat Jumaat.

4. Aspek tadbir urus perlu dipenuhi

Bagi tujuan memberi kebenaran solat Jumaat di surau/ musolla di pusat beli-belah, pihak MAIS juga perlu mengambil perhatian terhadap aspek bagi pelantikan Imam, Bilal dan petugas lain yang diperlukan.

Juga, pengurusan dan tadbir urus surau/musolla tersebut agar menepati segala peraturan dan dasar yang telah ditetapkan.

5. Memastikan pemantauan dan keseragaman khutbah

Dalam keadaan lain, jika petugas bagi surau kebenaran solat Jumaat di pusat beli-belah tersebut tidak dilantik oleh MAIS, ia akan menyebabkan kesukaran dari aspek pemantauan dan kawalan terhadap pengurusan surau/musolla tersebut termasuk memastikan pematuhan dan keseragaman pembacaan khutbah Jumaat yang disediakan oleh pihak MAIS.

Baca juga: Hospital Queen Elizabeth Ulas Isu Tular, Orang Tidur Di Lobi Bukan Pesakit Menunggu Rawatan

solat jumaat

Gambar hiasan: Gemini AI

MAIS SERU UMAT ISLAM  TERUS IMARAHKAN MASJID

MAIS menjelaskan walaupun pada masa ini terdapat satu surau/musolla di pusat beli-belah di Negeri Selangor yang telah diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat, namun kebenaran ini adalah bersifat sementara.

Ia diberikan kebenaran secara sementara kerana tiada masjid yang berdekatan dengan premis ini.

Namun demikian, kebenaran sementara ini akan ditarik balik jika di masa hadapan terdapat pembinaan masjid yang berdekatan dengan pusat beli belah tersebut yang mampu menampung kapasiti penduduk Islam setempat untuk mendirikan solat Jumaat.

MAIS menjelaskan bahawa ketetapan DYMM Sultan Selangor ini adalah selaras dengan ajaran dan syiar Islam agar umat Islam memperkukuhkan fungsi dan peranan masjid sebagai pusat ibadah utama umat Islam, selain menjadi pusat penyebaran ilmu dan dakwah.

Justeru, MAIS menyeru seluruh umat Islam di Negeri Selangor untuk terus mengimarahkan masjid dan surau agar institusi masjid dan surau dapat dijadikan sebagai pusat perpaduan umat Islam.

Sumber: Facebook Majlis Agama Islam Selangor

FT Image: Gemini AI / selangor.gov

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×