Warga Kuala Lumpur yang merancang untuk masuk ke pusat bandar bermula minggu ini dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal berikutan beberapa penutupan jalan utama sempena penganjuran Citrawarna 2026.
Penutupan jalan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 21 hingga 27 Julai 2026 bagi memberi laluan kepada kerja persiapan, operasi acara serta perarakan utama yang berlangsung di sekitar Dataran Merdeka.
PENUTUPAN JALAN DI KL, INI LALUAN YANG DITUTUP 21 HINGGA 27 JULAI 2026

Foto: NST
Citrawarna 2026 merupakan antara acara kebudayaan terbesar negara yang dianjurkan bersempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Festival ini bakal menghimpunkan pelbagai persembahan seni, warisan, budaya dan gastronomi Malaysia, termasuk acara kemuncak Colours of Parade.
Antara laluan yang terjejas ialah Jalan Raja, iaitu jalan utama di hadapan Dataran Merdeka.
Laluan berkenaan akan ditutup sepenuhnya bermula jam 12 tengah hari, Selasa (21 Julai) sehingga jam 5 pagi, Isnin (27 Julai) bagi membolehkan pihak penganjur menjalankan kerja pemasangan, persiapan teknikal dan operasi acara dengan lancar.
Laluan Terlibat Ketika Raptai Dan Perarakan

Foto: Harian Metro
Selain Jalan Raja, beberapa lagi jalan utama akan ditutup ketika sesi raptai dan perarakan utama Citrawarna 2026.
Bagi sesi raptai, penutupan jalan akan berlangsung pada:
- Jumaat, 24 Julai, 9 malam hingga 2 pagi
Manakala penutupan semasa acara perarakan utama pula dijadualkan pada:
- Sabtu, 25 Julai, 6 petang hingga 11 malam
Antara laluan yang terlibat termasuk:
- Jalan Tuanku Abdul Rahman
- Jalan Tun Perak
- Jalan Raja Laut
- Jalan Esfahan
- Laluan dari Bulatan Dato’ Onn menghala ke Jalan Parlimen
- Susur masuk dari Jalan Kinabalu ke Jalan Sultan Hishamuddin
Bagaimanapun, lorong kecemasan akan kekal dibuka sepanjang tempoh penutupan jalan.
Digalakkan Guna Pengangkutan Awam
Orang ramai yang ingin berkunjung ke kawasan Dataran Merdeka digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Bagi yang perlu memandu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya menyemak laluan perjalanan terlebih dahulu, mematuhi arahan lencongan serta menyediakan masa tambahan kerana aliran trafik dijangka lebih perlahan.
Grab Tawar 3,000 Baucar E-Hailing Percuma
Dalam usaha memudahkan pergerakan pengunjung sepanjang Citrawarna 2026, Grab turut menyediakan 3,000 baucar e-hailing bernilai RM3.
Baucar tersebut akan diberikan kepada 1,000 pengguna terawal setiap hari sepanjang acara berlangsung dari 24 hingga 26 Julai 2026, dengan nilai keseluruhan sebanyak RM9,000.
Kod promosi dan maklumat penebusan akan diumumkan melalui platform media sosial rasmi penganjur.
Jadi, buat yang perlu melalui kawasan pusat bandar Kuala Lumpur minggu ini, jangan lupa semak laluan terlebih dahulu supaya perjalanan lebih lancar dan tidak terperangkap dalam kesesakan.
Baca juga: Hasrat Bermandi Berakhir Tragedi, Dua Kanak-Kanak Ditemui Lemas Di Kolam Terbiar
Sumber: Berita Harian
