Niat asalnya mahu bersedekah dan membantu penghuni madrasah, namun lain pula yang berlaku apabila sumbangan daging korban yang diterima di Kompleks Pendidikan Baitul Dhiya’ didakwa sudah berbau, kehitaman dan tidak lagi sesuai dimasak.
Perkara itu dikongsikan pendakwah bebas PU Syed yang meluahkan rasa terkilan selepas hampir 20 kilogram daging terpaksa ditanam demi mengelakkan risiko kepada kesihatan.
SUMBANGAN DAGING KORBAN YANG DITERIMA, DIDAKWA SUDAH BERBAU

Gambar: Facebook PU Syed
Menerusi satu hantaran di media sosial, PU Syed memaklumkan tukang masak di kompleks berkenaan mendapati keadaan daging yang diterima sudah mengeluarkan bau kurang menyenangkan selain kelihatan kehitaman.
Menurutnya, individu yang menghantar daging itu memaklumkan bau berkenaan mungkin berpunca daripada darah, namun keadaan fizikal daging berkenaan menimbulkan keraguan terhadap tahap kesegarannya.
Diterima hampir sebulan selepas Aidiladha
Apa yang lebih mengejutkan, PU Syed menjelaskan sumbangan daging korban itu diterima ketika tarikh sudah memasuki 7 Muharam, iaitu hampir sebulan selepas ibadah korban dilaksanakan pada Aidiladha lalu.
PU Syed menegaskan pihak kompleks sentiasa bersyukur menerima apa sahaja sumbangan daripada orang ramai.
Namun begitu, dia berharap setiap pemberian dibuat dalam keadaan yang masih elok, berkualiti dan sempurna untuk dimanfaatkan oleh para pelajar serta penghuni madrasah.
Menurut PU Syed, isu tersebut bukan soal memilih atau menolak rezeki, sebaliknya melibatkan tanggungjawab ketika mahu memberi sesuatu kepada pusat pendidikan agama dan kebajikan.

Gambar: Facebook PU Syed
“Kalau nak beri, biarlah yang masih elok”
Dalam hantaran sama, PU Syed turut mengingatkan masyarakat tentang adab bersedekah dengan memetik firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 92, yang menyeru umat Islam mendermakan sebahagian daripada apa yang disayangi bagi mencapai hakikat kebajikan sebenar.
{ لَن تَنَالُوا۟ ٱلۡبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا۟ مِمَّا تُحِبُّونَۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَیۡءࣲ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِیمࣱ }
Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
(Surah Āli-ʿImrān: 92)
Teguran itu dibuat selepas melihat keadaan sumbangan daging korban yang dihantar didakwa tidak lagi sesuai digunakan.
PU Syed berpandangan, jika benar mahu bersedekah kepada madrasah, rumah kebajikan atau pusat pendidikan, pemberian itu sepatutnya datang dalam keadaan baik dan selamat untuk dimakan, bukannya sesuatu yang sudah rosak atau hampir tidak boleh digunakan.
Hampir 20kg daging terpaksa ditanam
Akibat keadaan daging yang sudah berbau dan diragui keselamatannya, PU Syed memaklumkan hampir 20 kilogram daging korban yang diterima akhirnya terpaksa ditanam bagi mengelakkan sebarang risiko kepada kesihatan penghuni madrasah.
PU Syed pada masa sama berharap perkara sama tidak berulang lagi pada masa akan datang.
Sumber: Facebook PU Syed (1), (2)
FT Image: PU Syed
