Persoalan mengenai hukum solat Jumaat sering menjadi topik perbincangan, lebih-lebih lagi apabila Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat.
Ramai yang keliru sama ada perlu menunaikan kedua-duanya atau memadai dengan solat Hari Raya sahaja. Jadi, bagaimana sebenarnya pandangan Islam dalam situasi ini?
HUKUM SOLAT JUMAAT JIKA AIDILFITRI JATUH HARI JUMAAT

Freepik
Solat Jumaat merupakan ibadah wajib bagi lelaki Muslim yang memenuhi syarat, berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Jumu’ah ayat 9 yang memerintahkan agar umat Islam segera ke masjid apabila azan Jumaat dilaungkan dan meninggalkan urusan lain.
Dalam masa yang sama, solat Hari Raya pula adalah sunat muakkad, iaitu sangat dituntut dan menjadi amalan yang tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi SAW. Ia dilakukan secara berjemaah dan menjadi simbol kegembiraan serta syiar Islam pada hari kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa.
Namun, apabila kedua-dua ibadah ini jatuh pada hari yang sama, para ulama berbeza pandangan. Sebahagian besar ulama berpendapat bahawa solat Jumaat tetap wajib walaupun seseorang itu telah menunaikan solat Hari Raya. Ini kerana kewajipan solat Jumaat telah ditetapkan dengan dalil yang jelas dan tidak gugur hanya dengan menunaikan solat sunat.
Rasulullah SAW bersabda kepada seorang yang bertanya tentang solat yang difardukan:
Maksudnya: “Lima solat sehari semalam. Baginda ditanya lagi: Adakah wajib atasku selain daripada itu? Baginda menjawab: Tidak, kecuali engkau ingin mengerjakan solat sunat.” Riwayat al-Bukhari (46) dan Muslim (11)
Solat Jumaat tetap wajib sekalipun telah dilakukan Solat Hari Raya. Ini kerana solat Jumaat asalnya adalah wajib berdasarkan nas di atas. Justeru, sekalipun sudah dilakukan solat Hari Raya, solat Jumaat tetap wajib. Inilah pendapa jumhur ulama termasuk Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan sebahagian daripada Hanabilah.

Freepik
Kedua, hukumnya sunat Solat Jumaat bagi mereka yang telah melaksanakan Solat Hari Raya. Pendapat ini adalah pendapat mazhab Hanbali.
Keharusan meninggalkan Jumaat bagi yang telah melakukan solat Hari Raya terutamanya bagi mereka yang ingin pulang ke pedalaman atau desa. Ini berdasarkan nas Rasulullah SAW yang menyebut (فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ) yang memberi maksud sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat.
Sebagai cadangan, imam yang bertugas pada hari Jumaat yang bertepatan dengan Hari Raya disarankan untuk menyampaikan khutbah secara lebih ringkas tanpa mengabaikan rukun yang wajib.
Hal ini kerana jemaah telah pun mendengar khutbah pada waktu pagi ketika solat Hari Raya. Dengan memendekkan khutbah Jumaat, ia bukan sahaja memudahkan para jemaah, malah memberi ruang untuk mereka meneruskan aktiviti ziarah dan menerima tetamu.
Baca juga: Bila Lalat Jatuh Dalam Air Minuman, Tak Perlu Buang! Tenggelamkan Dulu Macam Cara Nabi Ajar Ini…
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
