Sihir kunci nafsu sering dikaitkan dengan gangguan rumah tangga dan perasaan saling menjauh dalam kalangan suami isteri. Menerusi perkongsian terbaharu, Mohd Fadli Salleh berkongsi penemuan objek pelik di sungai yang didakwa berkait dengan amalan sihir tersebut, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Difahamkan, ‘barang’ tersebut merupakan amalan sihir yang dikenali dalam masyarakat sebagai sihir kunci nafsu atau perosak rumah tangga.
Baca juga: 7 Cara Jaga Pasangan Di Usia 30+ Supaya Cinta Kekal Menyala, Bukan Semakin Pudar…
SIHIR KUNCI NAFSU, BOLEH ROSAKKAN RUMAH TANGGA

Dalam perkongsiannya, Mohd Fadli menyebut bahawa antara bahan yang dikaitkan dengan sihir tersebut adalah sebiji bawang dicucuk dengan pin. Menurutnya, objek sebegini biasanya dibuang ke sungai dengan tujuan tertentu oleh individu yang berniat jahat.
Dia menasihatkan, jika orang awam terjumpa objek sebegini, mereka boleh membantu memutuskan unsur khianat dengan membukanya sambil membaca ayat-ayat perlindungan seperti Ayat Kursi, Bismillah 5, tiga Qul dan selawat. Katanya, niat itu bertujuan membatalkan perbuatan sihir dan mendoakan kesejahteraan pihak yang menjadi sasaran.
Menurut Mohd Fadli, kesan sihir sebegini dikatakan mampu mengganggu hubungan suami isteri sehingga retak masjid yang dibina.
Katanya lagi, apabila difikirkan semula, pertelingkahan yang berlaku kadang-kala langsung tidak masuk akal dan tidak setimpal dengan kemarahan yang tercetus.
“Kesian siapa yang kena sihir kunci nafsu dan perosak rumahtangga ni. Lihat pasangan jadi tiada nafsu. Goda macamana pun, tak terangsang langsung.
“Rumah tangga asyik panas je. Benda kecil boleh gaduh besar. Benda remeh je, tapi rasa marah meluap macam pasangan curang pula,” jelasnya.
Namun begitu, Mohd Fadli turut mengingatkan bahawa perbuatan sihir ini bukan sahaja menganiaya orang lain, bahkan termasuk dalam perbuatan syirik yang dilarang dalam Islam.
Dalam hantaran tersebut, dia mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan perbuatan hasad dengki atau amalan yang bertujuan merosakkan rumah tangga orang lain. Tegasnya, perbuatan sedemikian hanya membawa mudarat kepada mangsa dan menjejaskan akidah pelaku itu sendiri.
Dalam masa yang sama, sebarang masalah rumah tangga sebaiknya ditangani dengan komunikasi, rawatan yang betul, dan mendapatkan nasihat pihak berautoriti.
Semoga kita semua dijauhkan daripada perbuatan hasad, fitnah dan permusuhan serta sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT.
Baca juga: Nafkah Anak Bukan Pilihan! Sikap Kesian Ibu Pada Bekas Suami Buat Hak Si Kecil Tergadai
Sumber: Facebook Mohd Fadli Salleh
