Sejak kebelakangan ini, kes penipuan dalam talian atau scam semakin berleluasa. Hampir setiap hari ada sahaja laporan tentang mangsa yang kerugian kerana tidak semak scammer terlebih dahulu.
Lebih menyedihkan, wang yang lesap itu bukan sedikit malah ada yang merupakan simpanan masa depan, duit persaraan, malah modal perniagaan yang dikumpul bertahun-tahun! Namun, berita baiknya kini wujud satu cara mudah untuk orang ramai melindungi diri daripada diperdaya: iaitu melalui portal Semak Mule CCID PDRM.
Baca juga: Elak Salah Faham Di Kaunter, Ini Cara ‘Scan’ Barangan SARA Guna Aplikasi MyKasih…Tak Semua Boleh Ya!
PDRM NAIK TARAF LAMAN SEMAK SCAMMER GUNA NOMBOR AKAUN BANK, NOMBOR TELEFON

Foto laman web rasmi.
Semak Mule ialah portal rasmi yang dibangunkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM). Fungsi utamanya adalah membantu orang ramai menyemak sama ada nombor akaun bank, nombor telefon atau nama syarikat pernah terlibat dalam kes penipuan.
Ringkasnya, sebelum kita membuat transaksi wang atau mempercayai tawaran yang mencurigakan, semakan boleh dilakukan terlebih dahulu. Jika maklumat tersebut mempunyai rekod penipuan, lebih baik hentikan urusan serta-merta.
Cara Menggunakan Semak Mule
1. Layari Portal Rasmi
Pergi ke laman web rasmi Semak Mule CCID PDRM.
2. Pilih Kategori
Tentukan sama ada mahu menyemak nombor akaun bank, nombor telefon atau nama syarikat.
3. Masukkan Maklumat
Taip nombor akaun, nombor telefon atau nama syarikat yang ingin disemak di ruangan yang disediakan.
4. Klik ‘Semak’
Tekan butang Semak untuk mendapatkan keputusan segera.
Senarai Top 10 Scammer

Foto: freepik
Selain fungsi semakan, portal ini juga menyediakan senarai Top 10 nombor akaun bank dan nombor telefon yang paling kerap digunakan oleh scammer.
Senarai ini sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa, membolehkan orang ramai merujuk maklumat terkini sebelum melakukan sebarang urusan kewangan.
Oleh itu, peringatan penting untuk orang ramai adalah penipuan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira umur, latar belakang atau pekerjaan. Dengan adanya sistem Semak Mule CCID PDRM, orang ramai kini mempunyai akses pantas untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa scammer.
*Ingatlah, sentiasa berwaspada, jangan mudah percaya, dan lakukan semakan sebelum membuat sebarang transaksi.
Sumber: Semak Mule PDRM
