Euforia Bola 2026
Dapur

Jangan Buang! Ramai Tak Tahu Kulit Tembikai Boleh Jadi Kerabu Sedap, Resipi Turun-Temurun Dari Mak

kulit tembikai

Selalunya bila beli tembikai, ramai akan terus buang bahagian kulit tembikai tanpa fikir panjang. Sedangkan, bahagian putih di dalamnya sebenarnya boleh dijadikan lauk kampung yang sedap, segar dan cukup membuka selera.

Baca juga: Dapat 3K Perkongsian, Wanita Kongsi Cara Buat Jeruk Nanas Sedap “Masam, Manis & Pedas Menjadi Satu!”

RESIPI KERABU KULIT TEMBIKAI DARI EMAK SHAM ZAINAL

kulit tembikai

Gambar: Sham Zainal

Menerusi perkongsian pengguna Facebook, Sham Zainal, dia berkongsi satu resipi kerabu kulit tembikai yang dikatakan resipi turun-temurun daripada ibunya.

Menurutnya, menu ini memang sedap dimakan bersama nasi panas, lebih-lebih lagi jika dinikmati ketika masih sejuk dengan rasa pedas, masam dan sedikit manis.

“Korang kalau beli tembikai, kulitnya jangan buang. Boleh buat kerabu kulit tembikai macam ini, sedap makan dengan nasi panas panas. Resipi ini dari mak,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Bagi yang belum pernah cuba, mungkin kedengaran agak pelik. Namun sebenarnya, menu seperti ini sudah lama menjadi hidangan tradisional sesetengah keluarga terutama di kampung.

Bahagian putih kulit tembikai mempunyai tekstur rangup dan sedikit berair, menjadikannya sesuai dibuat kerabu atau masakan berkuah seperti sayur bening dan masak lemak.

Bahan-bahan:

  • Kulit tembikai bahagian putih
  • 1 ekor ikan rebus atau ikan bakar (ambil isi sahaja)
  • 2 biji bawang merah kecil
  • 3 hingga 5 tangkai cili merah atau cili hijau
  • Sedikit belacan bakar
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit gula
  • Aji atau serbuk perasa lain
  • Limau nipis
  • Sedikit air masak atau air sejuk

Cara penyediaan:

  1. Potong kulit tembikai dan ambil bahagian putih menggunakan sudu.
  2. Tumbuk kasar cili, bawang merah dan belacan.
  3. Masukkan isi ikan rebus atau ikan bakar, kemudian ramas sedikit supaya sebati.
  4. Campurkan semua bahan bersama kulit tembikai.
  5. Tambahkan sedikit air masak atau air sejuk.
  6. Masukkan garam, gula dan serbuk perasa mengikut citarasa.
  7. Perah limau nipis.
  8. Gaul hingga sebati dan sedia untuk dihidangkan.

Menurut perkongsian tersebut, kerabu ini lebih sedap dimakan ketika sejuk bersama nasi panas kerana gabungan rasa pedas, masam dan manisnya memang cukup ‘menaikkan selera’.

Baca juga: Pendakwah Jelaskan Kenapa Daging Korban Perlu Masuk Chiller 7 Jam, Kemudian Baru Boleh Masak

kulit tembikai

Gambar: Sham Zainal

Ramai rupanya pernah makan sejak kecil

Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya rupanya sudah biasa menikmati menu berasaskan kulit tembikai sejak kecil, malah ada yang terkenang masakan ibu masing-masing.

“Wahhh macam sedap je kulit tembikai ini, tak pernah rasa lagi,” komen seorang pengguna.

“Budak sekarang tak reti makan sayur kulit tembikai,” tulis pengguna lain.

Selain dibuat kerabu, ada juga yang berkongsi cara lain menikmati bahan tersebut.

“Dulu arwah mak masak bening campur lada hitam atau masak lemak kuning,” kongsinya.

Seorang lagi pengguna turut menulis, “Tak pernah lagi masak kerabu, biasa sayur air saja. Mesti sedap ini.”

Kadang-kadang, bahan yang kita anggap tidak berguna sebenarnya boleh menjadi hidangan istimewa jika tahu cara memasaknya. Kalau lepas ini beli tembikai, mungkin boleh fikir dua kali sebelum terus buang kulitnya.

Baca juga: Resipi ‘Bua Loy Pisang’ Comel, Cantik Macam Kuih Raya Tapi Rupanya Pencuci Mulut Lemak Manis!

Sumber: Facebook Sham Zainal

FT Image: Sham Zainal

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×