Isu tular melibatkan tiga remaja lelaki yang didakwa memberikan nasi tulang ayam kepada seorang lelaki gelandangan terus mengundang reaksi ramai, termasuk daripada individu yang terlibat secara langsung dalam kejadian berkenaan.
“Saya terkial-kial apabila disapa oleh tiga remaja itu kerana masih baring ketika itu dan tidak menjangka bungkusan yang mereka bawa itu adalah sisa makanan,” kata gelandangan di Jalan Meldrum, Ram (bukan nama sebenar).
Baca juga: Mayat Ibu & Anak 3 Tahun Ditemui Terapung Di Laut Berhampiran Jeti Pulau Ketam!
GELANDANGAN MAAFKAN 3 REMAJA BERI NASI TULANG AYAM

Lelaki berusia 49 tahun itu berkata, dia tidak menyangka kejadian yang berlaku awal pagi beberapa hari lalu dirakamkan tanpa pengetahuannya dan dimuat naik ke media sosial oleh remaja terbabit.
Menurutnya, walaupun terkejut apabila mendapati bungkusan yang diterima mengandungi sisa makanan, dia tetap menerima dengan baik dan hanya mengucapkan terima kasih kepada mereka.
Katanya lagi, remaja itu turut menyerahkan satu lagi bungkusan berbeza yang mengandungi makanan lain.
“Saya tidak pasti apa tujuan mereka berbuat demikian, saya hanya menyedari video tular itu selepas dimaklumkan pengunjung kawasan ini yang turut kecewa dengan perbuatan mereka.
“Saya tidak pasti apa kesilapan saya sehingga mereka berbuat demikian, namun saya hanya memandang positif dan menganggap mereka adik.
“Saya memaafkan perbuatan mereka dan berharap ia tidak berulang kepada gelandangan lain,” katanya.
Ram yang berasal dari Perak berkata dia sudah lama hidup sebagai gelandangan dan tidak lagi bekerja. Katanya, apa yang dilaluinya adalah takdir hidup dan dia sentiasa mengelak daripada menimbulkan masalah kepada orang ramai.
Baca juga: Netizen Bengang 3 Remaja Beri Nasi Tulang Ayam Kepada Gelandangan, Walau Sekadar Eksperimen Sosial
Menurutnya, dia difahamkan bahawa pihak berkuasa telah mengambil tindakan terhadap remaja berkenaan susulan video tular tersebut.
“Saya tiada kaitan dengan tindakan yang diambil pihak berkuasa dan tiada kuasa untuk menghalang, itu antara mereka dan pihak berkuasa.
“Selepas kejadian itu, beberapa penduduk tampil bertemu saya dan menyerahkan bungkusan makanan serta bertanya khabar.
“Malah ada yang memohon maaf atas perbuatan tiga remaja itu,” katanya ketika ditemui.
Ram, yang fasih berbahasa Inggeris, turut menjadi perhatian media dan pempengaruh yang hadir menemu bualnya untuk mendapatkan reaksi berkaitan kejadian itu.
“Saya fikir tiga remaja itu masih muda dan panjang masa depan mereka, biarlah isu ini diselesai dengan baik oleh pihak berkuasa,” katanya.
Baca juga: Budak Kecil Buka Seluar Kencing Dalam Kedai, Si Ibu Buat Bodoh & Hulur RM8 Kepada Pekerja!
Sumber: Harian Metro
