Euforia Bola 2026
Suami Isteri

“Cinta Tak Selalu Indah, Tapi Masih Layak Diperjuangkan”- Nasihat Raja Ilya Tentang Rumah Tangga Buat Ramai Tersentuh

raja ilya

Pelakon dan usahawan, Raja Ramilah Begum Raja Mohammad atau lebih dikenali sebagai Raja Ilya, tampil dengan pandangan yang cukup menyentuh hati mengenai isu penceraian yang semakin kerap berlaku dalam kalangan pasangan muda masa kini.

Menetap di Australia bersama suami dan anak-anak, Raja Ilya berpendapat bahawa penceraian bukan satu kegagalan, sebaliknya kadang kala menjadi jalan terbaik untuk membebaskan diri daripada penderitaan, terutama jika melibatkan penderaan fizikal atau emosi.

Baca juga: Isu Beza Tarikh Akad Uqasha Senrose Di Sijil Nikah Mungkin Teknikal, Mufti Terengganu Jelas Perkahwinan Masih SAH

“BILA KEBAHAGIAAN DILETAKKAN ATAS BAHU SESEORANG, KITA YANG AKAN SAKIT..”- RAJA ILYA

raja ilya

Foto: Raja Ilya bersama suami, Trent Garret.

Namun begitu, bagi mereka yang memilih untuk terus mempertahankan rumah tangga, pelakon berusia 40 tahun itu mengakui bahawa fasa selepas kelahiran anak pertama adalah antara detik paling mencabar dalam sesebuah perkahwinan.

“Perempuan sering meletakkan harapan terlalu tinggi pada lelaki. Kita harap dia faham, bantu, dan peka. Tapi bila semua kebahagiaan diletakkan atas bahu seseorang, akhirnya kita yang sakit,” luahnya di media sosial.

Menurut Raja Ilya, lelaki dan wanita adalah dua dunia yang berbeza terutamanya dalam cara mereka berfikir, mencintai, dan mengekspresikan keletihan tidak sama. Maka, salah faham, perang dingin dan rasa tidak dihargai sebenarnya lumrah dalam hubungan suami isteri.

“Perkahwinan bukan tentang cinta yang sempurna, tapi tentang sejauh mana dua jiwa mampu berdiri teguh walaupun ketika cinta terasa lemah,” tulisnya penuh makna.

Tambahnya lagi, ramai pasangan hanya mula menyesal selepas berpisah dan barulah terasa kehilangan, barulah timbul keinginan untuk memperbaiki.

“Kadang selepas bergaduh, baru datang rasa bersalah. Tapi kalau dari awal kita belajar untuk bertenang, meminta maaf, dan tidak mengulangi kesilapan, kita tak perlu menanggung patah hati yang sama,” ujarnya.

Anak-Anak Perlu Lihat Kasih Sayang, Bukan Pertengkaran

raja ilya

Dirinya yang membesar dalam keluarga yang tidak sempurna, Raja Ilya mengingatkan bahawa jiwa anak-anak terbentuk daripada apa yang mereka lihat di rumah.

“Kalau masih boleh bertolak ansur, kawal ego, dan pilih kasih sayang daripada ingin menang, lakukanlah demi mereka. Jiwa dan masa depan anak-anak bergantung pada suasana rumah yang mereka lihat setiap hari,” katanya.

Baginya, dalam perkahwinan tidak ada siapa betul atau salah sepenuhnya. Lelaki dan wanita sama-sama berjuang dalam bentuk yang berbeza iaitu wanita dengan hormon dan tekanan selepas bersalin, manakala lelaki dengan tanggungjawab sebagai pelindung dan penyara keluarga.

“Apa yang membuatkan sesebuah perkahwinan bertahan bukanlah kesempurnaan, tapi kejujuran, usaha, toleransi dan mengingati teras sebenar hubungan itu. Jika asasnya adalah Tuhan, keluarga, dan kebaikan, kita akan sentiasa menemui jalan kembali,” katanya lagi.

Raja Ilya menutup perkongsian dengan mesej penuh harapan bahawa cinta masih wujud, walau selepas pergaduhan, air mata, dan keletihan, selagi dua hati masih memilih untuk membina bersama.

Untuk rekod, Raja Ilya mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan warga Australia, Trent Garrett, dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata comel, Talita Love (3 tahun) dan Royal Abraham (1 tahun).

Baca juga: Bila Pakistan Jumpa Jawa & ‘Lots Of Mix’, Ini Fakta Menarik Tentang Kahwin Kacuk Buat Genetik Lebih Kuat

Sumber: Instagram

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×