Siapa sangka perjalanan seorang anak Malaysia yang berangkat ke Amerika Syarikat dengan hanya dua beg pakaian akhirnya membawa kepada satu detik penuh kebanggaan.
Arif Ismail Ruslan, bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang, malah turut dipilih untuk menyampaikan ucapan mewakili graduan pada majlis konvokesyen University of California San Diego (UCSD), Amerika Syarikat.
Baca juga: Pelajar Tahfiz Juara Beregu Badminton MSSM, Siap Hafaz Al-Quran & Curi Perhatian Tan Boon Heong!
ANAK MALAYSIA WAKILI GRADUAN BERUCAP PADA KONVOKESYEN UCSD, AS

Lebih menyentuh hati, kejayaan pemuda berusia 24 tahun itu dirahsiakan daripada kedua ibu bapanya yang hadir pada majlis tersebut. Mereka hanya mengetahui perkara itu apabila Arif melangkah ke pentas dan berdiri di hadapan ribuan graduan, ahli akademik serta keluarga yang hadir.
“Empat tahun lalu, saya meninggalkan Malaysia sebagai penuntut antarabangsa dengan bantuan biasiswa MARA untuk mendapatkan pendidikan yang tidak mampu ditanggung keluarga saya.
“Saya membawa bersama kasih sayang, harapan dan impian ibu bapa saya.
“Saya membawa seluruh kehidupan saya dalam dua beg pakaian besar dan terbang merentasi Lautan Pasifik ke San Diego, tempat yang tidak pernah saya kunjungi sebelum ini tanpa keluarga menemani saya,” katanya ketika dihubungi media.
Arif merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi Molekul dan Sel dengan minor dalam Sains Marin.
Pelajar tajaan MARA itu dipilih sebagai penyampai ucapan graduasi bagi Class of 2026 Seventh College UCSD hasil kecemerlangan akademik serta penglibatan aktif dalam kepimpinan dan khidmat masyarakat.
Dari Malaysia ke California dengan sebuah impian

Gambar ihsan keluarga: Dari kiri: Salhatul Asma Ruslan (kakak), Jamayah Tambi (ibu), Arif Ismail Ruslan (pelajar tajaan MARA) dan Ruslan Che Amad (bapa).
Menurut Arif, empat tahun lalu beliau meninggalkan Malaysia sebagai pelajar antarabangsa yang membawa harapan besar keluarganya.
Beliau mengakui perjalanan tersebut bukanlah mudah. Selain perlu menyesuaikan diri dengan budaya baharu, Arif juga berdepan cabaran keyakinan berbahasa Inggeris serta kehidupan sebagai seorang Muslim di negara asing.
Namun, sokongan daripada Muslim Student Association, Alpha Lambda Mu dan komuniti UCSD banyak membantu beliau menyesuaikan diri dan membina keyakinan diri sepanjang berada di negara asing.
Sepanjang pengajian, Arif bukan sekadar fokus dalam akademik. Beliau juga mengasaskan Persatuan Pelajar Malaysia di UCSD dan aktif memperjuangkan kebajikan pelajar, aktif dalam pelbagai program khidmat masyarakat dan kepimpinan.
Sebagai senator antarabangsa dalam Persatuan Pelajar, beliau memperjuangkan kadar yuran yang lebih adil di seluruh sistem University of California, memperluaskan bantuan kepada pelajar antarabangsa serta lantang menyuarakan isu diskriminasi dan Islamofobia.
Dalam ucapannya, Arif turut berkongsi perjuangan rakan-rakan graduan yang berjaya menamatkan pengajian walaupun berdepan masalah kewangan, diskriminasi, konflik keluarga dan pelbagai cabaran hidup.
“Kepada mereka yang sedang berdepan kesukaran dan penindasan, percayalah keadaan akan menjadi lebih baik. Kehadiran anda di sini hari ini (Ahad) adalah bukti segala cabaran itu boleh diatasi,” ucapnya di hadapan ribuan graduan, ahli akademik, keluarga dan rakan-rakan.
Malah, di luar kampus pula, Arif memimpin Manara West dengan membimbing pelajar di lebih 50 kampus di United States’ West Coast dalam aspek kepimpinan, pembangunan profesional dan advokasi.
Pengorbanan ibu bapa jadi inspirasi
Pencapaian Arif turut diraikan kakaknya, Anina Hajar Ruslan, 31, menerusi satu hantaran di media sosial yang mengimbas perjalanan pendidikan keluarga mereka.
Kongsinya, tujuh daripada lapan beradik mereka sudah menamatkan pengajian di universiti di Mesir, Sepanyol, AS dan Malaysia, manakala adik bongsu kini sedang melanjutkan pengajian di Kolej Profesional MARA, Ayer Molek, Melaka.
Kejayaan adik-beradiknya tidak datang bergolek, sebaliknya lahir daripada disiplin, pendidikan serta sokongan tanpa henti daripada ibu bapa mereka yang membesarkan lapan orang anak sambil meneruskan kerjaya sepenuh masa.
“Bapa saya memperoleh ijazah ketika ibu sedang mengandungkan anak keenam. Mereka berdua bekerja dan sering berjauhan atas tuntutan kerjaya, namun tidak pernah gagal untuk ada bersama anak-anak mereka,” tulisnya di sebuah hantaran di media sosial.
Menurutnya, segala kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil doa, sokongan dan komitmen penuh ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak.
Sumber: Harian Metro
FT Image: Harian Metro / NST
