Hanya beberapa bulan sahaja sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), perjalanan hidup seorang remaja yang aktif bersukan berubah sekelip mata pada September lalu, selepas disahkan menghidap kanser tulang Osteosarcoma tahap 2B pada bahu kanannya.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tidak mampu dibayangkan, ujian yang dipikul anak muda bernama Aaron Darwisy Nor Fakrulrazi, yang kini berusia 18 tahun.
AARON DARWISY HIDAP KANSER TULANG & CEMERLANG SPM 2025

Gambar Aaron Darwisy Nor Fakrulrazi menuju ke bilik khas yang disediakan pihak hospital untuk menjawab peperiksaan SPM pada 2025 lalu (kiri).
Namun, semangatnya untuk menamatkan pengajian bersama rakan-rakan tetap menyala.
Selepas hujan pasti ada pelangi, Aaron bukan sahaja berjaya menempuh peperiksaan dengan penuh ketabahan, malah meraih keputusan cemerlang 8A (3A+, 4A, 1A-). Sekali gus, memahatkan namanya sebagai salah seorang pelajar cemerlang SPM dari Sekolah Menengah Sains Rembau.
“Saya terkejut bila keputusan keluar. Saya tak sangka dapat 8A sebab saya tidak letakkan harapan terlalu tinggi. Tapi bila dapat, saya terus hubungi ibu bapa saya,” kongsi Aaron kepada penulis Siraplimau.
Berita mengejutkan dan semangat yang tidak luntur
Bercerita lanjut, Aaron mula mendapat berita mengejutkan tentang kanser tulang pada pertengahan 2025. Doktor mencadangkan kemoterapi diikuti pembedahan untuk menggantikan tulang bahu dengan implan.
“Ketika doktor maklumkan, saya rasa sedih dan terkejut. Saya baru sahaja habis peperiksaan percubaan SPM, dan hanya tinggal habiskan pembelajaran sekolah menengah saya dengan menduduki SPM yang sebenar sahaja,” katanya.
Jelasnya, kanser ini dipercayai berpunca daripada kecederaan bahu semasa bermain bola, yang kemudiannya menyebabkan pembengkakan dan diagnosis tumor.
Walaupun doktor mencadangkan untuk menunda SPM, Aaron tetap ingin menduduki peperiksaan pada tahun itu bersama rakan-rakannya. Seperti pepatah, alah bisa tegal biasa, dia teruskan perjuangan demi impian akademiknya.
Ceritanya lagi, rutin harian Aaron semasa rawatan tidak mudah. Setiap sesi kemoterapi memerlukan dia dimasukkan ke hospital tiga hingga empat hari dan berehat di rumah selama tiga minggu untuk pulih.
Pada hari-hari awal di rumah, Aaron hanya fokus untuk mengatasi rasa mual dan keletihan. Apabila badan mula pulih, dia melakukan brisk walk setiap pagi dan menjalani pemeriksaan darah mingguan.
Dugaan besar melanda ketika sedang menjawab peperiksaan SPM
Cabaran paling sukar datang semasa menjawab peperiksaan, termasuk jangkitan darah yang membuatkan Aaron pitam sehari sebelum kertas Sejarah dan kemudiannya dimasukkan ke wad selama 6 hari.
Selain itu, Aaron berdepan masalah mata bengkak pada kedua dua belah matanya ketika menjawab kertas Matematik Tambahan.
“Seminggu sebelum SPM, saya merayu kepada ayah saya untuk bermalam di asrama kerana saya ingin mencari motivasi bagi menjawab SPM, mencari semula flow pembelajaran saya dan sebagainya,” kongsinya.
Seperti pepatah Melayu, ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, Aaron membuktikan bahawa semangat lebih kuat daripada ujian fizikal. Sokongan keluarga, para guru dan rakan yang tidak berbelah bahagi, memainkan peranan penting dalam kekuatan mental Aaron.
“Ibu bapa saya sanggup berhabis duit untuk mencari tuisyen bagi saya agar saya tidak ketinggalan. Guru- guru saya pula sering menolong saya dan beri kata-kata semangat kepada saya sebelum saya menduduki peperiksaan.
“Tidak lupa juga rakan batch saya yang sentiasa melakukan solat sunat hajat untuk kesihatan saya,” kongsinya lanjut.
Malah, melihat gambar rakan-rakan yang sedang belajar, membuatkan dirinya tidah mahu bersenang-senang. Sepanjang peperiksaan SPM, Aaron memegang kata-kata motivasi yang selalu diingatnya, “jangan beri kanser hancurkan hidup.”
Baca juga: “Ayah Nyawa Ina…”- Wanita Ini Nekad Berhenti Kerja & Jual Sambal, Demi Jaga Ayah Angkat Uzur

Gambar Aaron Darwisy yang aktif bersukan (kiri) dan bersama keluarganya (kanan).
Strategi belajar semasa sakit dan cita-cita yang ingin digapai
Dalam menguruskan masa antara rawatan, rehat dan ulangkaji, Aaron menegaskan bahawa dia tidak akan belajar semasa kemoterapi dan akan mengulangkaji sebaik sahaja badannya pulih. Aaron yang tidak lokek ilmu turut berkongsi tip belajarnya untuk manfaat bersama.
Antaranya ialah memberi fokus kepada subjek lemah pada waktu petang atau malam, membuat latihan berformat peperiksaan secara konsisten dan tidak malu bertanya guru atau rakan jika tidak memahami sesuatu topik.
Selain itu, anak kepada pasangan pensyarah, Nor Fakrulrazi Ismail, 49, dan Dr Norfardilawati Musa, 48, turut memaklumkan bahawa dia sangat meminati sains dan memasang impian untuk menjadi seorang ahli kimia pada suatu hari nanti.
Maka, tidak hairan Aaron memperoleh A+ bagi subjek kesukaannya iaitu Kimia dan ingin menyambung pengajian dalam Kejuteraan Kimia di University of Tokyo, Jepun.
Biarpun diuji dengan kesihatan kanser, kad ucapan yang diterima daripada rakan-rakannya mampu menyalurkan semangat dan membuatkan senyuman Aaron tidak pudar dari wajahnya.
Seperti kata peribahasa, ‘bagai aur dengan tebing’, sokongan keluarga dan guru menjadi sandaran yang tidak ternilai sepanjang cabarannya itu.
“Mesej saya terhadap pelajar lain yang sedang menghadapi cabaran hidup ialah tiada apa yang boleh menghalang kita dari kejayaan, kecuali pemikiran minda kita sendiri,” ujarnya diakhir wawancara.
AMARAN!
Artikel ini merupakan temu ramah eksklusif Siraplimau sempena keputusan SPM 2025 dengan pihak terbabit. Jadi, anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di laman portal yang lain tanpa pemberian kredit yang tepat.
