Setiap ibu bapa pasti mengimpikan kehidupan yang senang buat anak-anak mereka. Namun siapa sangka, kasih dan pengorbanan bertahun-tahun boleh terbalas dengan kepahitan apabila proses pembahagian harta yang menjadi punca perpecahan keluarga.
Itulah yang menimpa seorang warga emas bernama Kassim Jali, yang dahulunya hidup mewah sebagai seorang jutawan namun kini meniti hari-hari tuanya dalam kesempitan.
Baca juga: “Nak Kebumi Di Mana?” – Dua Beradik Bergaduh Di Wad Ketika Ayah Nazak, Kena ‘Heret’ Ke Mahkamah!
Hidup Mewah Suatu Ketika Dahulu, Lepas Pembahagian Harta Terus Dibuang 7 Anak

Foto hiasan.
Pada masa mudanya, Kassim merupakan seorang ahli perniagaan berjaya yang memiliki pelbagai aset berharga termasuk ladang sawit, bisnes penternakan ayam dan juga stesen minyak. Segala hasil titik peluh itu dikumpul demi masa depan anak-anaknya seramai tujuh orang.
Namun selepas meniti usia emas, Kassim membuat keputusan untuk mengagihkan semua hartanya secara sama rata kepada anak-anak. Dia menyangka langkah itu akan menjamin kebahagiaan keluarga tetapi sebaliknya yang berlaku.
Kassim tidak menyangka kasih sayang anak-anak yang berusia antara 41 hingga 58 tahun itu akan berubah sekelip mata. Sejak mereka menerima bahagian masing-masing, lelaki itu mendakwa langsung tidak dihiraukan atau dijenguk. Malah, sudah dua tahun beliau hidup tanpa sebarang khabar atau bantuan daripada anak-anak kandungnya.
Daripada bergelar jutawan, Kassim kini terpaksa bergantung hidup kepada isteri keduanya dan anak tiri, sambil menanggung masalah kesihatan yang semakin meruncing. Namun bagi dirinya, luka yang paling dalam bukanlah kehilangan harta tetapi kehilangan kasih anak-anak sendiri.
Nekad Tuntut Nafkah di Mahkamah Syariah

Foto hiasan.
Terkilan dan kecewa dengan sikap anak-anaknya, Kassim akhirnya memfailkan tuntutan nafkah di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka. Dalam tuntutan tersebut, beliau menuntut agar setiap anak membayar RM3,925 sebulan sebagai nafkah hidupnya, selagi dirinya masih bernyawa.
Langkah itu bukan kerana tamak, tetapi kerana ingin menegakkan tanggungjawab anak terhadap ibu bapa, seperti yang dituntut dalam agama dan nilai kemanusiaan.
Jadi, kisah Kassim ini menjadi satu peringatan besar buat semua, bahawa harta dan kemewahan tidak menjamin kebahagiaan. Apa gunanya rumah besar dan wang berjuta jika hubungan kekeluargaan musnah akibat tamak dan kealpaan?
Namun ingatlah anak-anak bahawa kasih ibu bapa tidak pernah terhitung nilainya, dan tidak ada harta di dunia yang mampu membayar pengorbanan mereka. Tak berkat!
Baca juga: Ketua Keluarga Wajib Sediakan Satu Fail Faraid Lengkap Dengan 7 Dokumen Ini, Senang!
Sumber: Malaysia Dateline
