Bila tiba musim durian, ramai yang mengambil peluang menikmati raja buah itu dalam pelbagai cara. Isi durian yang berlebihan boleh diproses menjadi pelbagai hidangan lazat termasuk lempuk durian yang terkenal dengan rasa manis, tekstur pekat dan aroma yang cukup memikat.
Lempuk durian merupakan makanan tradisional yang popular di beberapa negeri di Malaysia. Ia diperbuat daripada isi durian yang dimasak dalam tempoh lama sehingga menjadi pes pekat berwarna keperangan.
Baca juga: Resipi Jeruk Belimbing Buluh Rangup, Masam-Masam Manis Pedas Memang ‘Ngam’ Buat Kudapan
RESIPI LEMPUK DURIAN CARA ORANG LAMA BUAT

Gambar dijana semula dengan Gemini AI: PakCik SMY
Bahan-bahan:
- 2 kilogram isi durian
- 200 hingga 300 gram gula melaka atau gula merah (ikut kemanisan durian)
- 1 sudu kecil garam
- Sedikit air (jika perlu)
Cara penyediaan:
- Keluarkan isi durian daripada bijinya dan asingkan juga sebahagian biji durian yang masih ada bijinya.
- Masukkan semua durian ke dalam kuali besar atau periuk yang tebal.
- Gunakan api sederhana perlahan untuk mengelakkan ia mudah hangit.
- Masukkan gula melaka dan garam, kacau sehingga sebati.
- Kacau secara berterusan selama 2 hingga 4 jam bergantung kepada kuantiti durian dan tahap kelembapan isi durian tersebut.
- Apabila warna bertukar keperangan dan teksturnya menjadi likat serta tidak melekat pada dasar kuali, lempuk durian sudah siap untuk diangkat.
Selepas sejuk, simpan lempuk dalam bekas kedap udara yang bersih dan kering. Jika disimpan di dalam peti sejuk, ia boleh bertahan selama beberapa bulan.
Baca juga: Tip Jemput Pisang Bulat Comel Guna Jari, Lembut Di Dalam Tapi Rangup Kulitnya & Tak Berminyak

Gambar dijana semula dengan Gemini AI: PakCik SMY
Petanda lempuk durian sudah masak
Selain melihat warna dan teksturnya, orang-orang lama mempunyai petua tersendiri yang masih digunakan sehingga hari ini untuk mengetahui lempuk durian yang sudah benar-benar masak.
Ada pembuat lempuk yang sengaja membiarkan sebahagian biji durian bersama isinya di dalam kuali. Apabila lempuk semakin pekat, isi durian yang melekat pada biji akan mula mengecut dan tertanggal dengan sendirinya.
Jika kebanyakan biji durian kelihatan bersih, licin berminyak dan mudah dipisahkan daripada isi, ia dianggap sebagai salah satu tanda bahawa lempuk sudah mencapai tahap kemasakan yang baik.
Pada masa yang sama, warna lempuk akan menjadi lebih gelap, teksturnya likat dan tidak lagi berair.
Petua lempuk durian jadi sedap
- Pilih durian yang masak ranum mempunyai rasa lebih manis dan aroma yang lebih kuat.
- Memasak lempuk durian dengan menggunakan kayu api bersama sabut kelapa.
- Kuali yang tebal membantu mengagihkan haba dengan lebih sekata dan mengurangkan risiko lempuk hangit.
- Kacau dalam satu arah dipercayai membantu menghasilkan tekstur yang lebih halus dan sekata sepanjang proses memasak.
- Api perlahan membolehkan lempuk masak secara sempurna tanpa menjejaskan rasa asli durian serta mengurangkan risiko hangit.
Selain dimakan begitu sahaja, lempuk durian juga boleh dijadikan inti kuih, dimakan bersama roti atau digunakan dalam pelbagai resipi moden.
Jadi, jika ada lebihan durian di rumah, apa kata cuba hasilkan lempuk durian sendiri menggunakan resipi tradisional yang diwarisi turun-temurun ini?
Baca juga: Nak Elak Mengantuk Lepas Makan? Air Daun Pandan Rupanya Ada ‘Kuasa Rahsia’ Kawal Gula
Sumber: PakCik SMY / Rozek TV
FT Image: PakCik SMY (dijana semula dengan Gemini AI)
