Ibu meluahkan rasa sedih dan kecewa selepas mendakwa pengasuh dera anak lelakinya ketika berada di rumah penjaga berkenaan.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Zulaika Bt Mat Ali berkongsi luahan mengenai kejadian yang menimpa anaknya, Saif Eimran, sambil menegaskan bahawa tiada alasan yang boleh menghalalkan sebarang bentuk kekerasan terhadap bayi.
PENGASUH DERA ANAK, ALASAN KERAP MENANGIS

Menurut Zulaika, dia sukar menerima hakikat apabila mengetahui anak yang dikandung dan dijaga dengan penuh kasih sayang didakwa diperlakukan dengan buruk oleh individu yang diamanahkan untuk menjaganya.
Katanya, alasan bayi kerap menangis tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menampar, memukul atau melakukan sebarang tindakan yang boleh mendatangkan kecederaan kepada kanak-kanak.
Malah, dia mendakwa pengakuan yang diterima hanyalah sebahagian daripada apa yang berlaku, manakala bentuk layanan sebenar terhadap anaknya masih belum diketahui sepenuhnya.
Dalam perkongsiannya, Zulaika memaklumkan bahawa dia telah mengumpulkan pelbagai bukti berkaitan kes tersebut.
Menurutnya, segala maklumat termasuk perkongsian, penyebaran gambar serta kenyataan yang didakwa tidak sepatutnya telah direkodkan bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, dia tidak dapat mendedahkan semua bukti kepada umum kerana kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Pengasuh tak layak jaga kanak-kanak
Zulaika turut meluahkan rasa kecewa terhadap individu terbabit yang didakwa memiliki sijil kursus pengasuhan, namun menurutnya gagal menunjukkan naluri kasih sayang dan empati terhadap kanak-kanak.
Dia menegaskan individu berkenaan tidak layak menjadi pengasuh sekiranya benar melakukan perbuatan sedemikian.
Pada masa sama, Zulaika turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengaitkan kejadian itu dengan semua pengasuh kerana masih ramai yang menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab.
Dia juga merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan pantas yang diambil dan memaklumkan bahawa kes tersebut kini masih dalam siasatan polis.
Sumber: Facebook Zulaika Bt Mat Ali
