Bukan mudah menjadi wanita selepas bergelar janda tanpa pekerjaan. Tekanan hidup yang menghimpit membuatkan Wana Talia, seorang ibu tunggal, terpaksa membuat keputusan paling menyakitkan iaitu melepaskan hak penjagaan anak kembarnya kepada bekas suami demi kelangsungan hidup.
Namun, hati mana yang tidak luluh mengetahui dan melihat anak sendiri terpaksa tidur di luar rumah, hanya kerana dituduh ‘buas’ oleh ibu tiri!
Baca juga: Cuci Ayam Tak Bersih, Anak Cedera & Peti Ais Pecah..Ibu Luah Rasa Geram Ada Bibik Tak Boleh Pakai!
MASA CERAI TAK ADA KERJA TETAP, LEPASKAN HAK PENJAGAAN ANAK DEKAT SUAMI..RUPA-RUPANYA HIDUP KUCAR-KACIR!

Dalam hantaran penuh emosi di Facebook, Wana mendedahkan anak-anaknya bukan sekadar dipaksa tidur di kaki lima flat perumahan dengan hanya beralaskan tilam nipis tanpa bantal. Malah pernah diperlakukan makan dengan mata ditutup dan perlu menghabiskan semua lauk dalam pinggan hanya kerana mereka enggan makan sayur.
“Anak saya kot, bukan binatang buas. Mereka baru darjah dua. Jahat macam mana pun, mereka tetap ada hati dan perasaan,” luahnya dengan nada sedih.
Ibu ini menjelaskan, keputusan menyerahkan hak penjagaan anak kembar itu dibuat ketika dirinya bercerai beberapa tahun lalu. Dalam keadaan hidup yang serba kekurangan tanpa pekerjaan tetap dan rumah sendiri, dia percaya anak-anak akan lebih selesa bersama bapa mereka yang berkemampuan serta sudah pun berumah tangga baharu.
“Masa tu saya fikir semua baik-baik saja. Ingatkan anak-anak bahagia dalam pelukan babah mereka, ada mak tiri yang jaga makan pakai. Tapi rupa-rupanya… mereka tidur di kaki lima rumah,” katanya sebak.
“ANAK AKU TIDUR DI KAKI LIMA FLAT…MANA HATI PERUT?”

Disuruh makan dengan mata tertutup.
Namun, selepas melihat bukti bergambar yang dikongsikan oleh jiran rumah bekas suami serta mendengar cerita sebenar, Wana bertekad untuk bangkit semula. Dia kini berusaha mengumpul kekuatan demi membela anak-anaknya yang dikasihi.
“Dulu saya jatuh terduduk, langsung tak mampu. Tapi kini saya cuba bangkit dengan sokongan keluarga. Ya Allah, kuatkan hati aku untuk terus lawan demi anak-anak,” tulisnya lagi.
Luahan itu pantas mencuri perhatian netizen. Ramai meluahkan rasa simpati, malah ada yang mendesak pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turun padang untuk menyiasat keadaan sebenar demi memastikan kebajikan kedua-dua kanak-kanak tersebut terbela.
Untuk pengetahuan ramai, mana-mana pihak yang didapati mengabaikan kanak-kanak boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, termasuk denda dan hukuman penjara. Semoga urusan ibu tunggal ini untuk melindungi anak-anaknya dipermudahkan Allah SWT.
Baca juga: Budak 7 Tahun Terketar-Ketar Ditinggalkan Bapa Tepi Lebuh Raya, Hukuman Sebab Bergaduh Dengan Abang
Sumber: Wana Talia
