Dalam perjalanan hidup, kadangkala kebaikan yang dilakukan secara diam-diam tanpa dipandang orang akhirnya membuka jalan kepada ganjaran luar biasa daripada Tuhan. Itulah yang berlaku kepada Cecep Abdullah, seorang pemuda biasa yang menjadikan kerja membersihkan masjid sebagai misi hidupnya. Tanpa disangka, usaha tulusnya itu menjadi sebab dia dijemput secara istimewa oleh Kerajaan Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji!
Ternyata, ini adalah impian yang dinantikan oleh jutaan umat Islam di seluruh dunia kerana ramai yang sanggup menyimpan wang bertahun-tahun demi menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
POPULAR DENGAN CONTENT CUCI MASJID, PEMUDA DAPAT JEMPUTAN ARAB SAUDI TUNAI IBADAH HAJI

Kesabaran yang tinggi dan harapan yang tidak pernah padam menjadi teman sepanjang perjalanan mengejar impian murni ini. Begitulah kisah menyentuh hati yang dilalui oleh seorang pemuda bernama Cecep Abdullah. Menerusi aplikasi TikTok, Cecep berjaya menarik perhatian lebih sejuta pengikut dengan perkongsian aktiviti membersihkan masjid.
Di mana ada rumah ibadah yang memerlukan perhatian, Cecep hadir tanpa mengharapkan sebarang balasan hanya demi kebaikan dan keikhlasan.
Bukti bahawa rezeki tidak pernah tersasar dan telah ditentukan Allah SWT, Cecep menerima khabar gembira apabila dia dijemput secara khas oleh Kerajaan Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji. Ia menjadi jawapan kepada doa-doanya selama ini, yang akhirnya dimakbulkan oleh Allah Yang Maha Pemurah.
Untuk pengetahuan ramai, Cecep, yang kini dikenali ramai sebagai ‘Cleaner Masjid’, telah memulakan kerja sukarela ini sejak tahun 2019. Walaupun sempat terhenti ketika pandemik melanda, dia kembali aktif pada tahun 2024 bersama kira-kira 20 orang sukarelawan lain, terus menyebarkan mesej kebaikan melalui platform media sosialnya.
Cecep anggap jemputan ini sebagai anugerah daripada Allah

“Ya Allah, undang aku tunai haji 2025, tidak kira apa pun caranya,” kongsinya.
Bagi Cecep, dia sendiri tidak pasti mengapa dirinya yang dipilih untuk menerima peluang ini. Dia merasakan masih ramai lagi insan lain di luar sana yang lebih layak dan banyak berbuat kebaikan.
Namun, dia percaya bahawa setiap rezeki adalah ketentuan Allah. Penerbangan bagi menunaikan ibadah suci ini dijadualkan pada 29 Mei, satu detik yang pastinya akan menjadi kenangan terindah dalam hidupnya. Selamat menunaikan ibadah haji dan pulang dengan selamat serta meneruskan lagi aktiviti kebajikan tersebut..
@cleanermasjidcleaning wudu masjid berlumut hitam 🍃 Ulama katakan apabila kita membuang sampah sebesar potongan kuku di dalam masjid pahalanya sama dengan membuang bangkai unta. Insyaallah kami bantu setiap hari membersihkan ratusan masjid di seluruh Indonesia, info ada di Bio
Baca juga: Ini Tahap Pendidikan 7 Ahli Politik Popular Malaysia, Memang ‘Top’ Di Kelas & Hebat Di Parlimen!
Sumber: Tiktok @cleanermasjid, SinarPlus
