Euforia Bola 2026
Inspirasi

“Alhamdulillah…” Ibu Simpan RM10 Sebulan Sejak Kecil, 10 Beradik Akhirnya Dapat Tunai Haji Bersama

tunai haji

Amalan menabung mungkin nampak kecil pada awalnya, namun kesannya boleh jadi luar biasa jika dibuat secara konsisten. Bagi sebuah keluarga dari Perak ini, simpanan dalam Tabung Haji sejak kecil akhirnya membolehkan 10 adik-beradik mereka tunai haji bersama pada musim ini.

Apa yang lebih menyentuh hati, perjalanan ibadah itu bukan berlaku secara kebetulan sebaliknya hasil perancangan ibu bapa mereka sejak lebih dua dekad lalu apabila setiap duit raya anak-anak dimasukkan ke akaun Tabung Haji (TH).

Baca juga: Anak Dapat Duit Raya Cecah Ribuan Ringgit? Ini 6 Cara Bijak Urus Simpanan Elak ‘Lesap’ Begitu Saja!

10 BERADIK TUNAI HAJI BERSAMA HASIL SIMPANAN RM10 SEBULAN OLEH EMAK DARI KECIL

tunai haji

Tangkap layar video berita AWANI.

Simpan duit raya dalam TH sejak kecil

Menurut laporan Harian Metro, seramai 10 daripada 12 adik-beradik itu kini berada di Tanah Suci bersama enam pasangan masing-masing bagi menunaikan ibadah haji musim 1447H/2026M.

Muhammad Huzair Zakhal, 39, berkata ibu bapanya mula merancang simpanan haji untuk semua anak sejak mereka masih kecil dengan membuka akaun TH selain melakukan simpanan bulanan secara konsisten.

“Kami tidak pernah melihat duit raya sebagai wang untuk dibelanjakan kerana kebanyakannya akan dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji.

“Semasa kecil mungkin kami tidak faham, tetapi sekarang kami sedar itu antara usaha awal mak ayah untuk memastikan kami mempunyai simpanan bagi menunaikan haji suatu hari nanti,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Menurut Muhammad Huzair, selain duit raya, ibu mereka, Azizah Zaudi, 69, turut menyimpan RM10 sebulan untuk setiap anak sebelum jumlah itu ditingkatkan kepada RM20 mengikut kemampuan keluarga.

Usaha tersebut diteruskan secara konsisten sehingga kesemua adik-beradik berjaya mendaftar haji pada tahun 2009.

Walaupun menerima panggilan haji bagi musim ini, tidak semua daripada mereka mempunyai simpanan mencukupi untuk melengkapkan kos perjalanan.

“Ada yang belum cukup simpanan ketika panggilan diterima. Kami fikir mungkin ada yang perlu tangguh dahulu, tetapi mak tetap mahu melihat anak-anaknya pergi bersama-sama dan membantu apa-apa yang perlu,” katanya.

Muhammad Huzair berkata, dua lagi adik-beradiknya tidak menyertai rombongan kali ini apabila kakak sulung mereka sudah menunaikan haji tahun lalu, manakala seorang lagi adik mempunyai masalah kesihatan.

Baca juga: Dron Haroqs RM15K Diinfakkan Demi Gaza, Rakaman Detik Cemas Jadi Bukti Dunia Sebelum Kapal Dipintas!

tunai haji

Gambar BERNAMA: Amalan yang dimulakan oleh ibu bapa mereka lebih dua dekad lalu itu akhirnya membuahkan hasil apabila 10 daripada 12 adik-beradik itu bersama dengan enam pasangan mereka kini berada di Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji musim 1447H/2026M.

Didikan agama eratkan hubungan adik-beradik

Selain aspek kewangan, Muhammad Huzair berkata ibu bapanya juga sangat menitikberatkan pendidikan agama sejak kecil termasuk pengajian al-Quran, hadis dan kepentingan menjaga hubungan kekeluargaan.

Nilai yang diterapkan itu terus diamalkan sehingga hari ini dan menjadi antara faktor hubungan mereka kekal rapat walaupun masing-masing sudah berkeluarga.

“Sepanjang berada di Tanah Suci, kami bukan sahaja dapat beribadah bersama-sama, tetapi turut meluangkan masa dengan adik-beradik yang jarang dapat berkumpul dalam jumlah yang besar di Malaysia,” katanya.

Menariknya, budaya menabung itu kini diteruskan generasi seterusnya apabila kebanyakan anak dalam keluarga mereka sudah mempunyai akaun Tabung Haji sendiri dan sebahagiannya telah didaftarkan untuk menunaikan haji pada masa depan.

Baca juga: Pernah Tular Ajar Tulisan Jawi Walaupun Bukan Islam, Cikgu Lorenica Kini Bangunkan Aplikasi Belajar Jawi Untuk Masyarakat

Sumber: Harian Metro

FT Image: BERNAMA

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×