Dalam masyarakat kita, panggilan haji atau hajah sering digunakan sebagai tanda hormat terutama kepada individu lebih berusia, meskipun ada antara mereka sebenarnya belum pernah menunaikan ibadah haji.
Malah, ada yang sudah terbiasa memanggil seseorang dengan gelaran “Pak Haji” atau “Mak Hajah” sejak sekian lama tanpa mengetahui hukum sebenar dari sudut agama. Jadi, adakah perkara ini dibolehkan dalam Islam?
HUKUM MEMANGGIL PANGGILAN HAJI ATAU HAJAH KEPADA SESEORANG BELUM TUNAI HAJI
Menurut penjelasan di portal Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, hukum memanggil seseorang dengan gelaran ‘Haji’ atau ‘Hajah’ sedangkan individu itu belum menunaikan haji boleh menjadi haram sekiranya bertujuan untuk menipu, mengelirukan masyarakat atau mendapatkan manfaat tertentu daripada gelaran tersebut.
Ini kerana pada kebiasaannya, panggilan berkenaan merujuk kepada individu yang sudah menyempurnakan ibadah haji di Mekah.
Dalam kitab Nihayat al-Muhtaj, Imam Syamsuddin al-Ramli menjelaskan bahawa panggilan itu dianggap tidak tepat jika digunakan kepada individu yang belum menunaikan haji kerana membawa makna seseorang itu telah melakukan ibadah tersebut.
Maksudnya:
“Terdapat pertanyaan tentang hal yang banyak berlaku dalam perbualan masyarakat sesama mereka iaitu panggilan mereka kepada seseorang yang belum menunaikan haji dengan panggilan ‘wahai Haji Fulan’ sebagai penghormatan kepadanya, adakah ia haram ataupun tidak?
“Jawapannya, secara zahir hukumnya adalah haram kerana ia merupakan penipuan. Ini kerana makna sebenar ‘wahai Haji Fulan’ ialah ‘wahai orang yang telah menunaikan ibadah haji’ dalam bentuk khusus.” (Rujuk Nihayat al-Muhtaj, 3:242)
Baca juga: Hukum Isteri Ganti Suami Berniaga Di Hari Jumaat & Benar Ke Haram Layan Pelanggan Lelaki?
Baca juga: Panduan Cari Barang Hilang Di Masjidil Haram & Masjid Nabawi, Hari Ini Hilang Esok Dah Jumpa!
Ada keadaan yang diharuskan
Bagaimanapun, penggunaan panggilan itu masih boleh diharuskan jika ia digunakan bukan dengan maksud sebenar seseorang sudah mengerjakan haji.
Sebaliknya, ia merujuk kepada makna bahasa atau adat tertentu seperti memanggil individu berusia, orang yang rajin ke masjid atau melazimi solat berjemaah.
Imam Syamsuddin al-Ramli menjelaskan lagi, sekiranya tiada unsur penipuan atau niat mengelirukan masyarakat, maka panggilan itu tidak menjadi kesalahan.
Maksudnya:
“…Ya, jika diinginkan daripada panggilan ‘Haji Fulan’ tersebut dengan maksud bahasa dan dia maksudkan dengannya panggilan itu makna yang betul dari sudut bahasa, seperti menganggap panggilan ‘wahai orang yang menuju kepada solat berjemaah dan selainnya sebagai contoh, maka tidak menjadi haram.” (Rujuk Nihayat al-Muhtaj, 3:242)

Gambar hiasan: Gemini AI
Sebaiknya elakkan bagi hindari khilaf
Walaupun terdapat situasi yang diharuskan, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berpandangan bahawa penggunaan panggilan tersebut kepada individu yang belum menunaikan haji sebaiknya dielakkan bagi menghindari kekeliruan dan khilaf.
Sebagai alternatif, orang ramai digalakkan menggunakan gelaran penghormatan lain yang lebih sesuai seperti pak cik, mak cik, tuan atau puan.
Kesimpulan
- Hukum panggilan ‘Haji’ atau ‘Hajah’ bergantung kepada niat dan tujuan penggunaannya.
- Jika bertujuan mengelirukan atau memberi gambaran palsu, ia boleh menjadi haram.
- Namun jika sekadar adat atau panggilan hormat tanpa unsur penipuan, ia diharuskan.
Sumber: Portal Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
FT Image: Gemini AI

