Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi meraih perhatian warga maya apabila berkongsi satu momen penuh syahdu bersama seorang pemandu teksi yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan awal karier seninya.
Menerusi perkongsian di laman sosial Yayasan Nurjiwa, Biduanita Negara itu sempat meluangkan masa menyantuni warga emas berkenaan dalam sebuah majlis berbuka puasa yang diadakan di tanah kelahirannya, Kuala Lipis, Pahang.
MOMEN MENYENTUH HATI, TOKTI SANTUNI PEMANDU TEKSI BERJASA SEMASA BINTANG HMI 1995

Foto: IG @yayasan.nurjiwa
Detik tersebut turut mengimbau kembali kenangan lebih tiga dekad lalu, ketika Siti menyertai pertandingan Bintang HMI pada 1 April 1995. Ketika itu, pak cik tersebutlah yang memandu teksi membawa Siti bersama ibu bapanya dari Kuala Lumpur pulang ke Kuala Lipis.
Menurut perkongsian itu, pemandu teksi berkenaan bukan sahaja menghantar mereka ke pertandingan tersebut, malah turut menjadi saksi kepada salah satu detik paling penting dalam hidup penyanyi tersohor itu.
“Momen yang cukup mengharukan. Pak cik inilah yang pernah memandu teksi membawa emak dan abah Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika beliau menyertai pertandingan Bintang HMI suatu ketika dahulu.
“Malah, pada hari dinobatkan sebagai juara, pak cik ini juga yang membawa pulang Siti bersama hadiah sebuah televisyen besar hasil kemenangan tersebut,” tulis perkongsian berkenaan.
Perkongsian itu pantas mengundang pelbagai reaksi daripada warganet yang tersentuh melihat sikap rendah diri Siti yang masih mengingati insan-insan yang pernah berjasa dalam hidupnya. Ada yang turut berkongsi kenangan mereka ketika menyaksikan momen tersebut di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Saya saksi pada hari itu. Teksi pak cik ini parking di belakang kereta saya di RTM. Datuk Siti dan abangnya Ayie keluar dari teksi dan terus bergegas masuk,” kongsi seorang pengguna media sosial.
NETIZEN PUJI TOKTI TAK PERNAH LUPA JASA

Foto: Sinar Harian, Semasa menjuarai Bintang HMI pada tahun 1995.
Rata-rata netizen turut memuji keperibadian penyanyi itu yang disifatkan tidak pernah melupakan jasa orang lain walaupun sudah berada di puncak kejayaan.
“Mulianya hati Siti Nurhaliza, sentiasa menghargai orang yang pernah berjasa,” netizen.
“Mahalnya momen ini. Mungkin pak cik ini sendiri tidak menyangka pernah membawa seorang bakal biduanita negara,” netizen.
Untuk rekod, Siti Nurhaliza mula mencipta nama dalam industri muzik tanah air seawal usia 16 tahun selepas menjuarai pertandingan nyanyian Bintang HMI anjuran Radio Televisyen Malaysia.
Selepas kemenangan tersebut, penyanyi lagu Jerat Percintaan itu menerima beberapa tawaran kontrak rakaman daripada syarikat antarabangsa sebelum akhirnya memilih untuk bersama Suria Records, sekali gus membuka laluan kepada perjalanan karier gemilangnya dalam industri muzik Malaysia.
Baca juga: Siti Nurhaliza Kongsi Detik Masa Bersalin, Datuk K Fobia Tengok Isteri Bertarung Nyawa!
Sumber: Instagram @yayasan.nurjiwa
