Seorang pelajar perempuan maut selepas dirempuh kereta dalam satu kejadian tragis yang berlaku di dalam kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Kota Bharu, Kelantan.
Kejadian ini dipercayai berpunca daripada pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang secara tidak sengaja menekan pedal minyak sehingga hilang kawalan.
PELAJAR MAUT DIREMPUH KERETA SELEPAS SELESAI SOLAT

Kredit: Harian Metro
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri memaklumkan bahawa kejadian tersebut berlaku sekitar jam 1.50 tengah hari dan melibatkan dua orang pelajar perempuan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu SUV jenis Honda HR-V itu sedang memandu di dalam kawasan sekolah sebelum dipercayai tertekan pedal minyak, menyebabkan kenderaan tersebut terbabas ke hadapan lalu melanggar kedua-dua mangsa.
“Ketika kejadian, kedua-dua pelajar berkenaan sedang memakai kasut di hadapan surau sebelum kenderaan itu meluru dan merempuh tiang batu di kawasan tersebut,” jelasnya.
Akibat kejadian itu, salah seorang mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian untuk tujuan bedah siasat.

Seorang lagi mangsa turut cedera parah di bahagian badan dan kini sedang dirawat di Zon Merah Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Sementara itu, pemandu SUV berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Difahamkan, individu yang memandu kenderaan tersebut merupakan seorang guru di sekolah berkenaan. Insiden ini turut menyentuh hati ramai apabila seorang bapa dilaporkan tidak dapat menahan kesedihan melihat anaknya terbujur kaku di dalam surau selepas kejadian.
Mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd. Azaudin, 13 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Baca juga: Teknik Potong Kek Bulat Untuk Ramai Orang, Boleh Dapat 32 ‘Slice’ Sama Saiz & Tak Hancur!
Sumber: Kosmo!
