Tiada siapa menyangka, pagi yang kelihatan biasa itu rupanya menjadi detik terakhir buat Nur Fatimatul Hawa yang maut dirempuh di hadapan surau sekolah.
Dalam suasana tenang sebelum ke sekolah, ada sesuatu yang dirasakan ‘lain’ namun tidak terluah. Menurut kakaknya, dia sempat melihat wajah adiknya kelihatan lebih berseri daripada kebiasaan ketika mereka sedang bersiap untuk ke sekolah.
WAJAH NUR FATIMATUL HAWA BERSERI PADA PAGI KEJADIAN

“Wajah dia nampak putih bersih, lain macam… tapi saya pendam sahaja perasaan itu,” katanya.
Mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, dilaporkan maut selepas dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu seorang guru wanita ketika sedang memakai kasut di hadapan surau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas pada Ahad.
Perkara sama turut disedari oleh ibu saudara mangsa, Zuraifah Noor, yang menyatakan pakaian seragam sekolah arwah juga kelihatan luar biasa cerah pada hari kejadian.
“Kami perasan baju sekolah dia nampak lebih putih daripada biasa, walaupun saya yang gosok seperti biasa sahaja,” ujarnya.
Lebih menyentuh hati, arwah disifatkan sebagai seorang anak yang baik dan sangat pemurah dalam kalangan adik-beradik.
“Dia jenis tak suka berbelanja. Duit sekolah selalunya dia simpan, lepas itu dia belanja kami makan,” kongsi kakaknya lagi.
Pada hari kejadian, arwah juga bangun lebih awal daripada kebiasaannya dan sudah siap berpakaian sekolah seawal jam 6.45 pagi, sesuatu yang jarang berlaku kerana dia biasanya antara yang paling lambat bersiap.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari itu, seorang lagi mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Azaudin Abdullah, memilih untuk memaafkan individu terlibat dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Kami reda dengan apa yang berlaku. Selebihnya kami serahkan kepada polis. Namun di pihak saya sebagai bapa, saya memaafkan guru berkenaan. Saya juga reda dengan takdir yang menimpa anak saya dan kami sekeluarga,” luahnya.
Pemergian arwah nyata meninggalkan kesan mendalam buat keluarga, apatah lagi dengan kenangan-kenangan kecil yang kini menjadi ingatan terakhir.
Sumber: Sinar Harian & Harian Metro
