Seorang pelajar lelaki jatuh bangunan dari tingkat tiga bangunan asrama di sebuah sekolah di Sabak Bernam difahamkan masih belum sedarkan diri
Remaja berkenaan telah menjalani pembedahan dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sungai Buloh. Menurut ibunya yang enggan dikenali, pihak hospital telah memaklumkan bahawa anaknya sedang dalam keadaan ditidurkan sementara menunggu menjalani ujian imbasan tomografi berkomputer (CT scan).
Baca juga: Remaja 13 Tahun Meninggal Dunia, Sakit Perut & Muntah Lepas Makan 3 Paket Mi Segera Mentah!
PELAJAR LELAKI JATUH BANGUNAN, POLIS BUKA KERTAS SIASATAN

“Saya tiba sekitar jam 4 pagi, tetapi tidak pasti bila kejadian sebenar berlaku. Saya cuma melihat anak saya sudah terbaring kaku di atas katil hospital,” jelasnya.
Wanita itu turut memaklumkan bahawa beliau hanya mampu bersabar dan menunggu di ruang bedah hospital sejak awal pagi.
Anaknya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu, disifatkan sebagai seorang yang baik, lemah lembut dan tidak pernah menimbulkan sebarang masalah.
Pihak polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan sedang dijalankan termasuk mengambil keterangan daripada saksi-saksi kejadian.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa masih terlalu awal untuk mengesahkan sama ada wujud unsur buli dalam insiden tersebut.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan bahawa tindakan pihak sekolah yang membawa pelajar ke hospital terlebih dahulu sebelum memaklumkan kepada keluarga adalah wajar dalam situasi kecemasan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, dalam keadaan genting, keselamatan pelajar harus diberi keutamaan.
“Betul, bapa pelajar hanya dimaklumkan selepas pelajar dihantar ke hospital. Dalam kecemasan, guru-guru pastinya akan bertindak menyelamatkan pelajar dahulu sebelum memikirkan langkah seterusnya,” katanya.
Susulan kejadian tersebut, KPM telah mengambil tindakan segera dengan menempatkan Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), dan warden asrama sekolah berkenaan ke Jabatan Pendidikan Negeri Selangor untuk memberi laluan kepada siasatan dalaman dijalankan.
Kejadian ini turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat, khususnya berkaitan keselamatan pelajar di kawasan asrama sekolah.
Baca juga: Bayi Tak Dapat Diselamatkan, Ibu ‘Pergi’ 11 Jam Lepas Bersalin, “Terlalu Sukar Untuk Saya…”
Sumber: Harian Metro
