Tiada ibu bapa yang sanggup membiarkan anak sendiri menderita mata buta selama-lamanya. Dan mereka sanggup melakukan apa sahaja demi menyembuhkan derita anak.
Itulah yang sedang dialami oleh pasangan suami isteri ini, yang buntu memikirkan nasib anak mereka selepas dimaklumkan akan buta kedua-dua belah mata. Sekiranya, anak mereka tidak dipasang alat khas di dalam kepala, selepas terlibat kemalangan awal Disember tahun lalu.
Baca juga: Peniaga Bazar Ramadan Kena Jaga 13 Info Kendali Makanan Ini, Elak Pembeli Sakit Perut
ANAK DERITA MATA BUTA, IBU BAPA BUNTU PERLUKAN BANTUAN

Gambar Sinar Harian: Siti Salwati (kiri) menunjukkan mata kanan Mohd Fahmi Saifudin yang buta selepas kemalangan pada Disember tahun lalu.
Pembedahan dijangka 22 April depan & alat khas RM20,000
Pasangan ini terpaksa menolak perasaan malu dengan meminta derma daripada orang ramai, selepas dimaklumkan alat khas itu berharga RM20,000 dan kos berkenaan tidak termasuk ubat serta rawatan di hospital.
Menurut Siti Salwati Ramli, 47, doktor memaklumkan anaknya, Mohd Fahmi Saifudin Mohd Faiza Mohd Ariffin, 20, dijangka melakukan pembedahan pada 22 April depan jika alat itu sudah disediakan.
“Saya tidak mungkin dapat mengumpul wang sebanyak itu dalam tempoh singkat kerana hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan manakala suami, Mohd Faiza, 47, juga pembantu peniaga air,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Gondang, di sini pada Isnin.
Tambahnya, mereka dimaklumkan tentang perkara itu dua minggu lalu dan beberapa usaha terus dilakukan termasuk meletakkan tabung di masjid dan menguar-uarkan di media sosial.
Baca juga: Cegah Tragedi Tersangkut Telekung, Buat 3 ‘Step’ Keselamatan Ini Sebelum Tunggang Motosikal!
Saraf kanan kepala Mohd Fahmi alami masalah & bakal beri kesan pada mata kiri
“Pada pemahaman saya jika alat itu tidak dipasang akan mengakibatkan biji matanya terkeluar kerana pergerakan saraf dan itu sangat membimbangkan,” katanya.
Wanita itu juga difahamkan jika alat berkenaan tidak dimasukkan, saraf bahagian kanan kepala anaknya akan mengalami masalah yang turut memberi kesan terhadap mata kirinya.
Siti Salwati menjelaskan, selepas kemalangan itu, anaknya tidak boleh melakukan kerja berat kerana cepat penat dan mengalami pendarahan hidung.
“Mohd Fahmi Saifudin kini hanya bekerja sebagai tukang cuci kereta berdekatan rumahnya untuk perbelanjaan sendiri,” jelasnya.
Menurutnya, lebih menyukarkan apabila tiga anaknya berusia 7 hingga 13 tahun masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan.
Kini Mohd Fahmi buta mata kanan akibat terbabas selepas kelibat anjing muncul
Menceritakan kejadian kemalangan itu, Siti Salwani memberitahu, Mohd Fahmi Saifudin terbabas kira-kira jam 4 pagi selepas terkejut melihat kelibat seekor anjing ketika pulang mengambil bapa saudaranya di stesen bas di bandar Ketereh.
“Bahagian kanan kepalanya cedera terhentak di tiang telefon dan dirawat selama 10 hari di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia.
“Akibat kejadian itu juga, mata kanannya disahkan buta,” katanya.
Baca juga: 3 Jemaah Cilik Laksanakan Solat Subuh Selama 40 Hari Berturut-Turut, Terima Ganjaran Basikal!
Maklumat untuk orang ramai menghulurkan bantuan
Sementara itu, Mohd Fahmi Saifudin berharap, usaha ibu bapanya membuahkan hasil kerana dia juga mahu bekerja dan membantu keluarga.
“Saya berdoa semoga ada rezeki bagi membolehkan kesihatan saya lebih baik dan tidak mahu menjejaskan penglihatan kedua-dua mata,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan melalui:
- Akaun bank Islam – 0304 5022 457610 (atas nama Siti Salwati)
- Hubungi Siti Salwati – 012 9630731
Baca juga: Gara-Gara Terima Surat Cinta, Noah Anak Bujang Angkasawan Negara Tak Nak Pergi Sekolah!
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Sinar Harian
