Lebih 800 pasangan dari Malaysia direkodkan kahwin di Thailand atau lebih spesifik lagi di kawasan Narathiwat, Selatan Thailand sepanjang tahun lalu, dengan sebahagian besar daripadanya melibatkan perkahwinan poligami.
Ternyata, berita sebegini begitu mengejutkan kerana tidak sangka seramai ini pihak yang menggunakan khidmat bernikah di negara jiran Malaysia ini.
KAHWIN DI THAILAND, SETIAP HARI MESTI ADA 3 PASANGAN MALAYSIA…NAK POLIGAMI

Foto: KelantanDaily
Menurut Timbalan Presiden Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat memaklumkan dalam Berita Harian, selain faktor poligami, terdapat juga pasangan yang memilih untuk bernikah di Thailand kerana tidak mendapat restu daripada keluarga.
Menurut beliau, sebelum ini dianggarkan antara tujuh hingga sembilan pasangan dari Malaysia berkahwin setiap hari di Narathiwat. Namun, angka tersebut menunjukkan penurunan ketara kepada sekitar tiga pasangan sehari sejak kebelakangan ini.
“Walaupun jumlahnya berkurangan, pasangan dari Malaysia masih datang ke sini untuk berkahwin. Kebanyakannya hadir sendiri, namun masih ada yang menggunakan khidmat ejen pernikahan,” jelasnya.
Abdul Aziz berkata, penurunan mendadak bilangan pasangan Malaysia mula dirasai selepas penutupan sempadan pada Disember 2024 yang dilaksanakan oleh pihak polis Kelantan.
“Keadaan ini mungkin berpunca daripada kesukaran menguruskan pasport atau masalah dokumentasi lain,” katanya lagi.
Susulan pengurangan jumlah pasangan, pihak Majlis Agama Islam Narathiwat mengambil keputusan menutup pejabat urusan pernikahan di Golok dan Takbai. Kini, semua urusan akad nikah hanya dijalankan di pejabat utama majlis berkenaan.
“Jika sebelum ini pasangan tanpa wali boleh bernikah di Golok dan Takbai, namun sejak sebulan lalu pejabat tersebut ditutup dan semua urusan dipusatkan di pejabat utama.
“Bagaimanapun, pasangan yang hadir bersama wali dan tidak memerlukan wali daripada pihak kami masih dibenarkan berkahwin dengan imam bertauliah di Golok dan Takbai,” jelas beliau.
Caj Murah, Tapi Perlu Berhati-hati

Foto hiasan.
Menurut Abdul Aziz, caj rasmi perkahwinan yang dikenakan oleh Majlis Agama Islam Narathiwat adalah sebanyak 5,200 baht atau kira-kira RM680, jauh lebih rendah berbanding bayaran melalui ejen yang boleh mencecah lebih RM2,000.
Beliau turut mendedahkan trend terkini menunjukkan semakin ramai pasangan dari Malaysia memilih untuk hadir sendiri tanpa menggunakan ejen kerana kos lebih jimat dan prosedur pernikahan kini lebih difahami. Namun begitu, beliau menasihatkan pasangan agar sentiasa berhati-hati sekiranya menggunakan khidmat orang tengah.
“Kami bimbang jika pasangan menggunakan ejen yang tidak sah, imam pula tidak bertauliah dan status wali tidak jelas, perkahwinan tersebut berisiko menjadi TIDAK SAH,” katanya.
Sehubungan itu, pasangan dari Malaysia disaran membuat semakan terlebih dahulu sebelum menggunakan perkhidmatan ejen pernikahan bagi mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari.
Tambah beliau, Majlis Agama Islam Narathiwat hanya menguruskan perkahwinan pasangan yang membawa dokumen lengkap serta tidak melibatkan pengantin bawah umur.
Sumber: Berita Harian
