Peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA atau UPKK 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 20 November depan bakal menjadi detik penting buat murid Tahun 5 KAFA di seluruh negara.
Bukan sekadar peperiksaan bertulis, UPKK dinilai sebagai medan sebenar untuk menguji ilmu agama, amalan ibadah, akhlak serta penghayatan cara hidup Islam yang telah dipelajari sejak kecil. Jadi, amatlah penting untuk anak-anak semua ‘skor’!
Baca juga: 4 Subjek Ini WAJIB Kena Skor Sebagai Penentu Masa Depan, Pelajar SPM 2025 Kena Ambil Serius!
PANDUAN UNTUK SKOR 9A PEPERIKSAAN UPKK 2025, BERMULA SEKARANG!

Foto: Ustazah Bonda sedang mengajar.
Menurut Ustazah Munera Hashim atau lebih dikenali sebagai Ustazah Bonda, guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Saujana Utama, Selangor, ramai murid meletakkan sasaran tinggi iaitu keputusan cemerlang 9A. Namun, beliau menegaskan kecemerlangan itu tidak datang dengan mudah, sebaliknya memerlukan usaha terancang, disiplin belajar, doa berterusan serta restu ibu bapa.
Sebagai panduan, berikut perkongsian eksklusif daripada Ustazah Bonda yang juga Juru Latih Utama Negeri bagi Kajian Tindakan dan Inovasi Pendidikan (JAIS).
1. Akidah – Mantapkan Keyakinan
Fokus: Rukun, sifat wajib/mustahil/harus, Islam & sains.
- Hafal sifat Allah & Rasul menggunakan kad imbas.
- Buat jadual – 3 sifat sehari, ulang semua hujung minggu.
- Kaitkan dengan fenomena alam seperti ciptaan langit & bumi untuk fahami sifat Qudrat (berkuasa).
2. Ibadah – Amalan Sahih
Fokus: Rukun, syarat sah, perkara sunat & yang membatalkan.
- Latih diri dengan soalan situasi – contohnya, “Apa perlu dibuat jika terlupa rukun solat?”
- Gunakan peta minda bergambar.
- Praktikkan secara amali di rumah dengan pemantauan ibu bapa.
3. Sirah – Sejarah Yang Hidup
Fokus: Peristiwa, tokoh, tarikh & hikmah.
- Ceritakan semula kepada rakan atau keluarga.
- Buat lagu ringkas untuk hafal fakta.
- Tandakan tarikh penting dalam garis masa (timeline).
- Guna teknik 5W1H untuk mudah faham.
4. Adab – Cermin Peribadi Mulia
Fokus: Dalil, hikmah, contoh, isu.
- Lakukan lakonan ringkas berkaitan adab.
- Gunakan jadual ‘checklist adab harian’.
- Ingat – adab yang baik membawa keberkatan dalam ilmu.
5. Bahasa Arab – Kuasai Asas
Fokus: Kosa kata harian & tatabahasa asas.
- Hafal 5 perkataan baharu setiap hari melalui lagu atau irama.
- Tampal senarai perkataan di dinding bilik.
- Biasakan diri membina ayat pendek setiap hari.
6. Jawi & Khat – Tulisan Indah
Fokus: Ejaan jawi baharu & jenis khat.
- Salin semula teks jawi dari buku.
- Guna pen dakwat hitam/pensel 2B untuk khat.
- Uji ingatan dengan menulis tanpa rujukan.
7. Tilawah & Hafazan – Lantunan Ayat Suci
Fokus: Tajwid, kelancaran, hafazan ayat al-Quran.
- Hafaz 2 baris sehari, ulang sebelum tambah hafazan baru.
- Dengar rakaman guru untuk sebutan tepat.
- Hafaz bersama rakan – saling menguji.
8. Amali Solat – Praktikal Yang Sempurna
Fokus: Pergerakan, bacaan & tertib solat.
- Latih solat penuh di rumah seolah-olah ‘mock exam’.
- Minta ibu bapa jadi pemeriksa.
- Hafal bacaan hingga lancar.
9. Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) – Islam Sebagai Gaya Hidup
Fokus: Nilai Islam dalam kehidupan seharian.
- Catat amalan harian – memberi salam, menjaga kebersihan, membantu orang.
- Fahami konsep halal, haram & muamalah mudah.
- Kaitkan soalan peperiksaan dengan pengalaman di rumah atau sekolah.

UPKK bukan sekadar peperiksaan, tetapi ukur tahap penghayatan Islam dalam diri murid. Dengan strategi belajar yang konsisten, sokongan guru, doa ibu bapa, serta disiplin diri, impian 9A bukan mustahil untuk dicapai. Semoga berjaya!
Sumber: Sinar Bestari
