Personaliti televisyen terkenal, Ahmad Fedtri Yahya, berkongsi momen penuh emosi apabila anak keduanya, Ahmad Wildan Arjuna, berjaya meraih keputusan cemerlang 9A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2025 semalam.
Menerusi perkongsian di Instagram, pengacara program popular Jejak Rasul itu memuat naik tangkap layar keputusan peperiksaan anaknya yang memaparkan gred A bagi semua subjek!
ANAK FEDTRI YAHYA DAPAT 9A UPKK, NETIZEN PUN UCAP TAHNIAH!

“Alhamdulillah, syukur. Arjuna dapat 9A UPKK. Tahniah abang. Semoga terus maju jaya dan bersemangat untuk capai misi-misi seterusnya,” tulisnya ringkas namun penuh makna.
Lebih menyentuh hati, Fedtri turut berkongsi rakaman video saat Arjuna menatap skrin telefon sebelum mengetahui keputusan sebenar. Anak lelaki itu dilihat tidak dapat menahan air mata kerana bimbang jika gagal memenuhi harapan.
Namun, kebimbangan itu bertukar menjadi tangisan kegembiraan apabila keputusan penuh A tertera di skrin. Suasana bertambah sebak apabila mereka berpelukan sambil melafazkan syukur.
Menurut Fedtri, kejayaan kecil itu menjadi suntikan motivasi buat masa depan anaknya.
“Dulu tengok kakak je dapat keputusan cemerlang. Sekarang giliran abang pula. Abang menangis sebab takut kecewa, tapi akhirnya Allah beri yang terbaik.
“Apa pun keputusan, hargailah usaha dan penat lelah anak. Yang paling penting, jiwa pada agama itu mesti ada,” kongsinya lagi.
Beliau turut menyifatkan kejayaan tersebut sebagai rezeki Ramadan yang cukup bermakna buat keluarga mereka.
Jejak Langkah Kakak

Untuk rekod, anak sulung Fedtri, Indah Sutera Jannah, sebelum ini turut mencatat keputusan cemerlang dalam UPKK pada tahun 2023. Kejayaan Arjuna seolah-olah menyambung legasi kecemerlangan dalam keluarga kecil itu.
Fedtri mendirikan rumah tangga bersama Nurul Anati pada Mei 2011 dan mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Indah Sutera Jannah, 14; Ahmad Wildan Arjuna, 12; Indah Rauvda Inaara, 9; serta Ahmad Firaas Mevlana, 7.
Perkongsian Fedtri itu menerima pelbagai ucapan tahniah daripada pengikut dan rakan selebriti yang turut tersentuh dengan momen penuh emosi berkenaan.
Tahniah Arjuna! Semoga terus cemerlang bukan sahaja dalam akademik, malah membesar sebagai anak soleh yang membanggakan keluarga dan hebat seperti ayahnya.
Baca juga: Permohonan Guru DG9 Dibuka 2–20 Mac 2026, Peluang Emas Graduan Bukan Bidang Pendidikan Untuk Mohon
Sumber: Instagram @fedtriyahya
