Dugaan berat yang dilalui oleh Siti Nur Shafiqa Suraini, 31, apabila anak sulungnya, Muhammad Aish Irfan Mohammad Hakeem, 3 tahun, disahkan menghidap Acute Necrotising Encephalopathy of Childhood (ANEC), sejenis kerosakan otak teruk berpunca daripada jangkitan Influenza A.
Tiada yang lebih meruntun jiwa seorang ibu selain melihat anak yang dahulunya aktif, berlari dan ketawa riang, kini hanya mampu terlantar tanpa daya…
Bermula Dengan Demam Biasa, Berakhir Di Unit Rawatan Rapi Selepas Jangkitan Influenza A

Menurut Siti Nur Shafiqa, anaknya sebelum ini merupakan kanak-kanak yang sangat aktif dan petah berbicara malah sudah mampu menyebut huruf A hingga Z serta mengenal warna dengan baik.
“Malam itu dia masih bermain dan minum susu seperti biasa. Tapi sekitar jam 4.30 pagi, dia tiba-tiba menangis kuat, muntah dan suhu badannya naik mendadak hingga 39.8 darjah Celsius. Kami terus bawa ke Hospital Melaka sebab dia dah lemah dan tak respon bila saya panggil,” cerita si ibu.
Setibanya di Jabatan Kecemasan, suhu badan Aish mencecah 41 darjah Celsius dan kadar oksigen pula menurun dengan cepat. Keadaannya yang kritikal menyebabkan dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).
“Hari pertama di PICU, oksigen dia masih tak stabil dan kakinya tiba-tiba jadi lemah. Selepas imbasan CT dan MRI, doktor sahkan otaknya mengalami kerosakan akibat Influenza A. Hari kedua, dia ditidurkan dan doktor minta kami bersedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya lagi.
Sebulan Bertarung Nyawa, Kini Lumpuh & Tidak Mampu Bercakap

Muhammad Aish Irfan bertarung nyawa selama sebulan di PICU sebelum keadaannya kembali stabil. Namun, kesan jangkitan itu meninggalkan impak besar dalam hidupnya.
Lebih menyedihkan, anak kecil yang dulunya lincah kini hilang keupayaan mengawal tubuh, tidak boleh bercakap, dan hanya bergantung kepada tiub untuk minum susu. Doktor juga mengesahkan dia kini tergolong sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal.
“Sekarang Aish cuma boleh tunjukkan reaksi sedih atau gembira. Gelombang otak masih perlahan. Setiap dua jam saya beri susu dan ubat ikut masa, manakala ayahnya pula mandikan dan dukung setiap hari,” kata Siti Nur Shafiqa.
Anak sulung daripada tiga beradik itu kini menjalani rawatan susulan dengan lima pakar termasuk pakar neurologi, pediatrik, kulit dan penyakit berjangkit. Selain itu, Aish turut menjalani empat jenis terapi seperti fisioterapi, terapi bahasa, terapi cara kerja dan rehabilitasi.
“Untuk fisioterapi di luar, bayaran mencecah RM150 untuk 20 minit setiap sesi. Hospital kerajaan pula hanya dapat temujanji dua atau tiga bulan sekali. Kami ada bantuan JKM sebanyak RM500 sebulan, tapi jumlah itu masih tak cukup untuk semua kos rawatan,” jelasnya.
Meski ujian ini berat, Siti Nur Shafiqa tetap tabah dan tidak pernah berhenti berharap agar anaknya dapat kembali sihat seperti dahulu.
“Semoga Aish Irfan dapat merasa semula nikmat berjalan, bercakap dan ketawa seperti dulu. Saya percaya, tiada yang mustahil dengan doa dan usaha,” katanya penuh harapan.
Bagi orang ramai yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun TikTok ‘IbuAish’, di mana Siti Nur Shafiqa sering berkongsi perkembangan rawatan anaknya. Semoga dipermudahkan segala urusan.
@doubleaish2223
Sumber: Tiktok @doubleaish2223, Sinar Harian
