Perkongsian terbaharu pelakon Norman Hakim kembali mencuri perhatian ramai apabila dia memuat naik video penuh emosi di Instagram yang memaparkan momen bersama anak perempuannya, Marissa Dania.
Video tersebut dimuat naik sekitar 10 jam lalu dan disertakan dengan kapsyen doa yang menyentuh hati ramai.
NORMAN HAKIM TITIP DOA BUAT KEBAHAGIAAN ANAKNYA, MARISSA DANIA

Dalam hantaran itu, Norman meluahkan harapan agar doa yang dibisikkan Marissa ketika bersalaman pada Hari Raya baru-baru ini dimakbulkan oleh Allah SWT. Dia juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan kebaikan buat anaknya.
“Papa doakan apa yang Adik bisik dekat telinga papa masa salam raya baru-baru ini Allah SWT makbulkan Insha Allah, Aamiin Ya Rabb.
“Terima kasih atas doa dan sangkaan yang baik-baik untuk anak solehah ini. We love u cayang @marissadania_” tulisnya.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai yang rata-rata menzahirkan sokongan dan doa buat keluarga itu agar terus kuat menghadapi ujian.
Doa ibu bapa sentiasa bersama anak walau apa pun berlaku
Di ruangan komen, ramai warga maya meluahkan pandangan bahawa kasih sayang ibu bapa terhadap anak tidak akan pernah berubah walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dalam kehidupan.
Ada yang mengingatkan bahawa setiap anak pasti pernah melakukan kesilapan, namun masih ada ruang untuk memperbaiki diri selagi masih diberi peluang.
“Dah nama pun anak, tetap mak ayah yang terima segala kebaikan dan keburukan mahupun kesilapan yang pernah dilakukan oleh anak. Mak ayah takkan tinggalkan anak dalam kesusahan,” tulis seorang pengguna media sosial.
Selain itu, ada juga yang menasihati orang ramai agar tidak terlalu cepat menghukum atau mengutuk, sebaliknya mendoakan yang baik-baik kerana setiap manusia sedang melalui ujian masing-masing.
Malah, ramai yang percaya segala yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri dan berharap Marissa dapat bangkit menjadi individu yang lebih kuat selepas melalui fasa sukar ini.
Baca juga: 4 Kanak-Kanak Jauh Berjalan Kaki Semata-Mata Nak Beraya Di Balai Polis, Gelagat Mereka Curi Tumpuan!

Abby abadi titip kata semangat, ingatkan tentang maruah diri
Dalam perkembangan berkaitan, pelakon dan usahawan Abby Abadi turut berkongsi kata-kata semangat buat puteri sulungnya itu menerusi hantaran di Threads, susulan kemelut rumah tangga yang sedang dihadapi.
Abby mengingatkan bahawa segala perkara di dunia ini bersifat sementara dan ketenangan hati serta maruah diri adalah perkara paling berharga dalam kehidupan.
Dia juga menegaskan bahawa dirinya akan sentiasa berada di sisi anaknya walau apa jua keadaan yang berlaku.
“Adik kuat, adik hebat! Jadi versi yang lebih baik selepas ini okay. Ingat dan semat dalam hati, apa sahaja situasi… Mama akan sentiasa ada.
“Terima Kasih untuk semua yang bersama dan mendoakan,” tulisnya.
Menurut laporan media, Abby turut berkongsi tangkap layar komen warga maya yang memberi kata-kata semangat dan mendoakan agar segala urusan anaknya dipermudahkan.
Dia berharap agar anaknya Marissa, mampu melalui ujian ini dengan tabah dan menjadikan pengalaman tersebut sebagai pengajaran untuk masa hadapan.
Semalam, pempengaruh kontroversi, Marissa Dania mendakwa rumah tangga bersama suami, Ahmad Aslam dalam fasa perpisahan dengan keputusan akhir bagi kes pengesahan lafaz cerai dan rujuk di Mahkamah Syariah, adalah cerai.
Menerusi Instagram Story (IGs), Marissa dilapr memaklumkan perbicaraan kes berkaitan lafaz cerai dan rujuk rumah tangganya itu ditangguhkan kerana dia masih belum memberikan keterangan.
Kemelut rumah tangga Marissa menjadi perhatian apabila dia dikhabarkan berkahwin dengan Ahmad Aslam di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023. Menerusi perkahwinan itu, Marissa bergelar isteri kedua berikutan Ahmad Aslam masih berstatus suami kepada pempengaruh, Umisya Mazlan.
Lihat siaran ini di Instagram
Sumber: Instagram Norman Hakim / Threads Abby Abadi
