Nama anak Eyka Farhana dan Akhyar Rashid menjadi perhatian ramai di media sosial, khususnya di platform Threads selepas mereka mendedahkan nama putera sulung mereka iaitu Muhammad Luay Khayr.
Segelintir warganet menyuarakan pandangan bahawa ia nama yang moden dan kurang biasa dalam masyarakat Melayu.
NAMA ANAK EYKA FARHANA CETUS PERBINCANGAN

Foto: Threads @eykafarhana
Perkongsian tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Ada yang memuji kerana kedengaran unik dan indah, namun tidak kurang juga yang mempersoalkan pemilihan nama itu kerana dianggap terlalu “kebaratan”.
Perdebatan itu mula hangat di platform media sosial apabila beberapa pengguna mendakwa nama “Luay” kedengaran moden dan tidak mempunyai unsur Islamik.
Namun begitu, ramai netizen tampil memberikan penjelasan bahawa nama tersebut sebenarnya mempunyai sejarah yang cukup besar dalam Islam.
Rupanya ‘Luay’ Nama Moyang Rasulullah SAW

Foto: Simply Sirah
Menurut perkongsian Simply Sirah, nama Luay atau Lu’ay bukanlah nama moden semata-mata. Sebaliknya, ia merupakan salah seorang moyang kepada Nabi Muhammad SAW dalam susur galur keturunan Baginda.
Lu’ay bin Ghalib ialah moyang Rasulullah SAW yang ke-9.
Nama penuh beliau ialah Lu’ay bin Ghalib bin Fihr, manakala Fihr juga dikenali sebagai Quraisy iaitu asal keturunan kaum Quraisy.
Daripada salasilah keturunan Lu’ay inilah lahirnya susur galur keluarga Rasulullah SAW sehingga kepada Baginda sendiri.
Perkara itu membuatkan ramai netizen terkejut kerana sebelum ini ada yang menyangka nama tersebut sekadar nama moden atau dipengaruhi budaya Barat.
Maksud Nama Anak Eyka Farhana “Luay Khayr”

Foto: Threads @nurfadziatulain
Selain mempunyai sejarah dalam Islam, nama Luay Khayr juga membawa maksud yang cukup indah dalam bahasa Arab.
“Luay” dikatakan membawa maksud pelindung yang kuat, berani dan mempunyai sifat kepimpinan, manakala “Khayr” pula membawa maksud kebaikan, keberkatan dan sesuatu yang baik.
Gabungan nama Muhammad Luay Khayr itu membuatkan ramai netizen menyifatkan ia sebagai nama yang bukan sahaja sedap didengar, malah mempunyai makna yang sangat baik.
Antara komen yang mencuri perhatian ialah:
“Luay, pelindung yang kuat dan berani. Khayr pula membawa kebaikan dan keberkatan. Such a beautiful name with a lovely meaning.”
Selain itu, ada juga netizen yang mempertahankan pasangan tersebut daripada kecaman sesetengah pihak.
“Lahir Melayu kena nama Melayu la? Wajib ke? Kerja nak cari salah je.”
Malah ada yang berkongsi bahawa nama Lu’ay sebenarnya sudah lama digunakan dalam kalangan masyarakat Islam.
“Dulu masa sekolah nama anak ustaz saya pun sama. Masa tanya, baru tahu rupanya daripada salasilah keturunan Nabi Muhammad SAW.”
Isu ini secara tidak langsung membuka perbincangan mengenai pemilihan nama anak dalam masyarakat hari ini.
Ramai berpendapat nama Arab atau nama Islamik tidak semestinya perlu kedengaran biasa di telinga masyarakat tempatan untuk dianggap mempunyai unsur Islam.
Bagi sesetengah individu, pemilihan nama bukan sekadar sedap didengar, tetapi turut membawa doa, harapan dan nilai yang ingin diterapkan kepada anak sejak kecil lagi.
Sumber: Threads @eykafarhana dan Threads @addien90
FT Images: Threads @eykafarhana
