Seorang murid Tahun Enam perempuan berdepan detik hitam yang tidak sepatutnya dilalui pada usia semuda itu apabila disyaki menjadi mangsa gangguan seksual, dicabul di kawasan semak berhampiran sekolahnya.
Murid Tahun Enam Ditemui Dalam Semak, Menangis Ketakutan

Foto: freepik
Menurut laporan Sinar Harian, kejadian menyayat hati itu dipercayai berlaku selepas waktu persekolahan tamat. Mangsa yang berusia 12 tahun dilaporkan hilang sebelum ditemui kira-kira jam 7 malam dalam keadaan terbaring di kawasan semak, hanya berpakaian dalam dan menangis akibat trauma.
Difahamkan, guru menyedari kehilangan murid berkenaan apabila dia tidak hadir ke kelas tambahan yang dijadualkan selepas tamat sesi persekolahan sekitar jam 1.05 tengah hari.
Usaha pencarian segera dilakukan oleh pihak sekolah sebelum rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa dilihat keluar dari kawasan sekolah sekitar waktu tengah hari.
Terpedaya Kereta Disangka Milik Ibu

Foto: Gemini AI
Menurut sumber, mangsa memberitahu dia keluar dari kawasan sekolah selepas terlihat sebuah kereta yang disangkakan milik ibunya.
Namun, sangkaannya meleset apabila kenderaan itu sebenarnya dipandu seorang lelaki tidak dikenali. Lebih mengejutkan, lelaki terbabit didakwa mengejar mangsa selepas menyedari kanak-kanak itu menghampiri kenderaan berkenaan. Ketakutan, mangsa berlari ke arah kawasan semak berhampiran untuk bersembunyi.
Malangnya, suspek dipercayai berjaya menjejaki mangsa di kawasan tersebut sebelum meminta kanak-kanak itu membuka pakaian sekolahnya. Mangsa yang ketakutan hanya menurut arahan dan ditinggalkan dalam keadaan berpakaian dalam.
Suspek turut didakwa menyentuh pipi mangsa serta merakam beberapa keping gambar menggunakan telefon bimbit sebelum meninggalkan lokasi kejadian.
Mangsa akhirnya ditemui oleh ahli keluarga yang turut sama menjalankan pencarian di sekitar kawasan sekolah pada jam 7 malam. Dia kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan dan kes disiasat sebagai kes cabul.
Kes ini sekali lagi mengingatkan ibu bapa dan pihak sekolah agar sentiasa memperketat pemantauan keselamatan anak-anak, khususnya ketika waktu pulang dan aktiviti tambahan selepas sekolah. Hati-hati!
Sumber: Sinar Harian</a
