Isu keselamatan anak di tempat awam bukan lagi perkara asing. Namun, apabila berlaku dalam komuniti sendiri dan melibatkan rumah ibadah, hal ini pastinya lebih mengejutkan dan meresahkan.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook miliknya, Hafiz Mustafa tampil berkongsi pengalaman peribadi yang amat menyedihkan apabila anaknya sendiri menjadi mangsa gangguan seksual oleh individu tidak dikenali di sebuah masjid.
Baca juga: Ramadan 2026: Fenomena ‘Masjid Hunting’ Makin Viral, Ini 18 Lokasi Popular Sekitar Lembah Klang
KESELAMATAN ANAK DI MASJID ‘TERGANGGU’, ADA LELAKI CUBA DEKAT

Dia mengakui pada awalnya ingin berdiam diri, namun memilih untuk berkongsi demi memberi kesedaran kepada ibu bapa lain agar lebih berwaspada.
Menurut Hafiz, kejadian berlaku pada penghujung Januari lalu ketika dia membawa anak lelakinya yang berusia sekitar tujuh hingga lapan tahun ke masjid untuk menunaikan solat Isyak.
Seperti kebiasaan, Hafiz solat di saf hadapan manakala Nuh berada di bahagian belakang bersama beberapa rakan sebaya. Ada kalanya Nuh bersolat, ada kalanya bermain bersama rakan-rakan di sekitar ruang masuk masjid.
Pada malam kejadian, Nuh tidak turut serta dalam solat dan bermain berhampiran pintu masuk. Ketika itu, rakan-rakan lain masuk semula ke dalam masjid dan Nuh tinggal bersendirian.
Seorang lelaki yang menaiki motosikal datang dan bertanyakan lokasi tandas. Nuh menunjukkan arah tandas tersebut. Lelaki berkenaan kemudian mengajak Nuh menemaninya ke tandas.
“Alhamdulilah, tak ada berlaku sebarang tusukan pada mana2 rongga Nuh. Tak ada perbuatan yang menyebabkan apa-apa cecair dari lelaki tu masuk ke tubuh Nuh.
“Kejadian berlaku sekitar 4 minit sahaja. Bila keluar dari tandas, dia terus berlalu dengan motosikal dan Nuh masuk dalam masjid. Tak sampai seminit lepas tu, jemaah siap solat dan bertebaran,” ujarnya.

Freepik (Sekadar gambar hiasan)
Semua pergerakan suspek dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid dan telah diserahkan kepada pihak polis. Wajah suspek dikatakan agak jelas dan dianggarkan berusia antara 25 hingga 29 tahun.
“Bawa anak ke masjid tak salah. Yang salah adalah persekitaran kita sekarang yang orang gila semakin ramai. Kepada parent, sebelum apa-apa berlaku pada anak kita, tolong waspada selalu.
“Tolong berhati-hati bila bawa anak ke tempat awam seperti masjid. Lebih-lebih lagi pada musim solat tarawih ni. Anak-anak akan datang ke masjid secara berulang. Kalau boleh bawa anak yang dah boleh berfikir dan berbincang supaya senang ikut arahan kita,” pesannya.
Menurutnya, sentuhan terhadap kanak-kanak sahaja sudah cukup untuk memuaskan nafsu songsang pelaku. Justeru, ibu bapa tidak boleh memandang ringan situasi yang kelihatan kecil atau tidak mencurigakan pada pandangan kasar.
Dia turut mencadangkan agar pihak masjid mempertimbangkan penyediaan ruang khas permainan kanak-kanak yang dipantau penjaga, khususnya sepanjang Ramadan dan musim solat tarawih. Selain itu, sistem CCTV berkualiti tinggi juga amat penting bagi membantu pemantauan dan siasatan jika berlaku perkara tidak diingini.
Baca juga: “Patutlah Ramai Perasan…”- Ada Ibu Bapa Dakwa Anak IVF ‘Lain Macam’ Bijak & Comel, Mitos Atau Fakta?
Sumber: Facebook Hafiz Mustafa
