Masalah penglihatan dalam kalangan murid sekolah rendah kini menjadi isu yang kian membimbangkan. Terbaharu, timbul cadangan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewajibkan saringan mata untuk murid Tahun 1.
Ini sebagai salah satu langkah penting bagi memastikan pembelajaran anak tidak terganggu akibat rabun yang tidak disedari.
Baca juga: Cikgu Terkejut 90% Pelajar Dapat Kosong Subjek Sejarah, Semua Cita-Cita Nak Jadi ‘Influencer’
55% Murid Tahun 1 Ada Masalah Penglihatan, Disaran Buat Saringan!

Foto BERNAMA: Dr Zaliha (tengah) melakukan gimik perasmian Program Mata Hati Wilayah 2025 di SK Seri Bintang Utara, Cheras.
Statistik yang dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa ternyata amat mengejutkan. Daripada 2,008 murid Tahun 1 yang disaring di bawah Program Mata Hati Wilayah, sebanyak 55% dikesan mengalami masalah penglihatan!
Daripada jumlah itu:
- 88% menghadapi rabun jauh
- 4% mengalami rabun warna
- 8% pula mempunyai masalah juling
Ini menunjukkan bahawa langkah intervensi awal seperti saringan ketika minggu orientasi Tahun 1 sangat diperlukan. Apa yang lebih membimbangkan, ramai murid tidak sedar langsung mereka mempunyai masalah mata. Mereka menyangka bahawa penglihatan kabur itu normal sehinggalah prestasi mereka di kelas mula menurun.
Menurut laporan World Report on Vision oleh WHO, kanak-kanak yang mempunyai masalah penglihatan berisiko untuk:
- Hilang keyakinan diri
- Kurang fokus dan motivasi
- Prestasi akademik merosot
Bila Dapat Cermin Mata, Prestasi Anak Terus Naik

Foto hiasan.
Melalui Program Mata Hati Wilayah, murid yang didapati rabun dibekalkan cermin mata secara percuma. Hasilnya? Sangat luar biasa:
– 92% murid menunjukkan perubahan positif dari segi keyakinan, komunikasi dan minat belajar
– Lebih fokus dalam kelas dan lebih aktif bertanya
– Hubungan sosial dengan rakan juga semakin baik
Antara sekolah yang terlibat ialah SK Bandar Tun Hussein Onn, SK Jalan Bellamy, dan SK Seri Bintang Utara.
Oleh itu, cadangan untuk menjadikan saringan mata sebagai rutin semasa minggu orientasi Tahun 1 adalah satu inisiatif yang patut dipercepatkan. Ia bukan sahaja membantu mengesan masalah penglihatan lebih awal, malah memberi peluang kepada setiap anak untuk belajar dan berkembang tanpa halangan. Kerana, belajar dengan jelas bermula dengan melihat dengan jelas.
Baca juga: “Siti Gemuk, Siti Hitam!”- Murid Tahun 1 Dibuli & Dapat Lukisan Tak Senonoh, Tak Mahu Pergi Sekolah!
Sumber: Sinar Harian, AWANI
