Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan ujian saringan diagnostik khas bagi menilai kelayakan kanak-kanak yang ingin menjadi murid Tahun 1 seawal usia enam tahun, bermula sesi persekolahan 2027.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, hanya kanak-kanak yang memenuhi kriteria ditetapkan dan lulus ujian diagnostik tersebut sahaja akan dipertimbangkan untuk kemasukan awal ke Tahun Satu.
Baca juga: Murid Tahun 1 Akan Diperkenalkan Dengan Elemen TVET Tahun 2027, Bagus Tapi Perlu Ke?
Bukan Semua Kanak-Kanak Layak Masuk Awal, Murid Tahun 1 2027 Ada Ujian Khas

Foto: Mohd Fadli Hamzah
Jelas beliau menerusi laporan Berita Harian, pelaksanaan dasar ini bukan bersifat wajib dan tidak melibatkan semua kanak-kanak berusia enam tahun. Sebaliknya, ia ditawarkan sebagai pilihan kepada ibu bapa, tertakluk kepada tahap kesiapsiagaan anak dari aspek perkembangan kognitif, emosi dan pembelajaran.
“Kanak-kanak yang layak perlu melalui proses saringan terlebih dahulu sebelum dipilih,” katanya.
Ibu Bapa Perlu Daftar Untuk Ujian Saringan

Foto: Fadhlina Sidek
Dalam masa sama, Fadhlina memaklumkan bahawa ibu bapa perlu mendaftarkan anak masing-masing untuk menduduki ujian saringan diagnostik tersebut. Maklumat lanjut mengenai kaedah pendaftaran dan tarikh pelaksanaan akan diumumkan oleh KPM dari semasa ke semasa.
Langkah ini dilihat sebagai usaha memastikan hanya kanak-kanak yang benar-benar bersedia dari segi akademik dan emosi dibenarkan memasuki alam persekolahan formal lebih awal.
Pendekatan ini selari dengan aspirasi KPM yang mahu menitikberatkan kesiapsiagaan kanak-kanak, bukan sekadar faktor umur. Ia juga bertujuan mengelakkan tekanan awal terhadap murid yang belum bersedia.
Fadhlina berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program PAKAT Prasekolah yang berlangsung di Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, hari ini.
Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan dasar ini dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.
Baca juga: Rupanya Lebih 120,000 Murid Tahun 1 Dikesan TAK BOLEH Membaca, Menulis & Mengira
Sumber: Berita Harian
