Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini (24 Julai 2025) diberitahu bahawa mesej WhatsApp berbunyi “Lantaklah nak hidup ke nak mati” yang dihantar Ismanira Abdul Manaf kepada suaminya bukanlah merujuk kepada anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin, yang hilang pada 5 Disember 2023.
Nampaknya, kenyataan ini mengundang lagi pelbagai persepsi negatif dalam kalangan netizen terhadap ibu kanak-kanak tersebut.
Baca juga: Mahkamah Putuskan Bapa Zayn Rayyan Bebas, Ibu Pula Diperintah Untuk Bela Diri
“AYAT ITU LUAHAN SAYA SENDIRI, TAK TUJU DEKAT ANAK”- ISMANIRA ABDUL MANAF

Foto: Harian Metro
Menurut laporan Harian Metro, Ismanira yang juga merupakan saksi pembelaan pertama dalam kes pengabaian kanak-kanak autisme itu menyatakan mesej tersebut menggambarkan keadaan dirinya yang ketika itu panik, keliru dan sangat tertekan.
“Saya sangat cemas hari itu, kelam-kabut dan sedih mencari anak. Saya perlukan suami cepat pulang untuk bantu saya. Ayat itu bukan ditujukan kepada anak, tapi lebih kepada luahan diri saya sendiri,” katanya dalam prosiding bela diri hari keempat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan peguam bela, Haresh Mahadevan, yang meminta penjelasan mengenai mesej bertanda #8 dalam perbualan WhatsApp antara beliau dan suaminya.
Terdahulu, juruanalisis jenayah siber, Superintendan Mohd Zaidi Abu Hassan, memaklumkan kepada mahkamah bahawa mesej tersebut ditemui dalam telefon bimbit yang dianalisis. Ia merupakan sebahagian daripada perbualan yang diekstrak dari dua telefon, satu iPhone berdaftar atas nama Ismanira dan satu lagi telefon Huawei atas nama Zaim Ikhwan Zahari.
Pasangan itu sebelum ini didakwa mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan, 6 tahun, hingga berisiko menyebabkan kecederaan fizikal. Kesalahan didakwa berlaku antara kawasan kediaman mereka di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai dan sungai berhampiran dari tengah hari 5 Disember hingga 9.55 malam keesokan harinya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023, dan tragisnya mayat mangsa ditemui di anak sungai berhampiran keesokan harinya.
Pada Isnin lalu, Hakim Dr Syahliza Warnoh memutuskan agar Ismanira membela diri atas pertuduhan tersebut, manakala suaminya, Zaim Ikhwan, dilepas dan dibebaskan.

Foto: Sinar Harian
*Semoga kes ini dapat diselesaikan dengan cepat dan tiada lagi putar belit yang berlaku…
Sumber: Harian Metro
