Mendidik anak lelaki, termasuk pengenalan kepada kerja rumah dan pengurusan diri, memainkan peranan besar dalam membentuk karakter dan akhlak mereka di kemudian hari.
Hal ini sama seperti yang dikongsikan di laman Facebook yang menjelaskan suaminya bersikap positif dan sering membantu isteri di rumah hasil didikan ibu mentuanya.
Baca juga: Jadual Penuh Peperiksaan Bertulis STAM 2025 Diumumkan, Bermula 12 Hingga 24 November
MENDIDIK ANAK LELAKI KENA PERKASAKAN MACAM 5 PERKARA INI

Freepik
“Saya percaya, tak rugi apabila mak mentua saya sejak awal mendidik anak-anak lelakinya supaya terbiasa melakukan kerja rumah.
“Dari kecil, mereka dibiasakan untuk tidak menjadi ‘raja dalam rumah’ dan mampu mencuci pinggan sendiri, kain lipat tersusun rapi, gotong-royong cuci tandas serta kemas rumah.
“Hari ini, saya melihat hasilnya dengan jelas. Lima anak lelakinya kini santun melayan isteri, menghormati wanita, ringan tangan menolong di dapur dan mengurus anak.
“Mereka juga ringan mulut meminta maaf bila melakukan kesilapan. Bukan untuk dipuji, tetapi kisah ini menjadi warisan nilai yang harus diteruskan oleh anak dan menantu kepada generasi seterusnya,” jelasnya.
Lima pengajaran penting dalam mendidik anak lelaki:
1. Jangan biarkan anak lelaki buat sesuka hati
Jika mereka dibiar bebas tanpa batas, mereka akan mengulang tingkah laku sama apabila berkeluarga nanti. Anak yang tidak biasa mendengar perkataan “tidak” dari kecil mungkin merasa tercabar apabila ditegur oleh isteri.
2. Besarkan dengan maruah, bukan marah
Anak lelaki perlu dibimbing dengan teladan dan doa, bukannya dibiarkan ego atau kemarahan mendominasi. Cara ini membentuk karakter yang bertanggungjawab dan berakhlak.
3. Air mata bukan tabu, tetapi perkataan nista perlu dijaga
Anak lelaki harus dibenarkan menangis, tetapi perlu diajar agar menahan diri daripada berkata dusta atau kata-kata kasar.

4. Teladan kepimpinan bila ayah solat
Anak lelaki belajar erti kepimpinan apabila melihat ayahnya menunaikan solat awal waktu, menunjukkan contoh amalan yang konsisten dan berdisiplin.
5. Kesabaran ibu sebagai guru kasih dan tanggungjawab
Apabila anak melihat ibu bersabar dalam mendidik dan mengurus keluarga, mereka mempelajari nilai kasih, hormat, dan tanggungjawab.
Apa yang kita ajarkan hari ini akan menjadi skrip kehidupan anak lelaki di masa hadapan. Jangan tunggu sehingga mereka dewasa baru mula membentuknya.
Empat perkara utama yang perlu diterapkan sejak kecil:
- Tanggungjawab kepada diri sendiri
- Tanggungjawab kepada agama
- Menghormati ibu, wanita, dan orang tua
- Mengawal hawa nafsu kerana ramai lelaki tersalah langkah kerana nafsu
Anak lelaki bukan sekadar untuk dibanggakan. Mereka dilahirkan untuk menjadi imam, pemimpin dan pembimbing bagi apa sahaja yang dipimpin, dengan tujuan menuju keredaan Allah.
Baca juga: KPM Umum Kalendar Akademik & Cuti Sekolah 2026, Sesi Persekolahan Kembali Bulan Januari
Sumber: Facebook
