Masalah tompok putih pada dinding rumah sering membuatkan pemilik kediaman berasa kurang selesa, lebih-lebih lagi selepas menukar warna cat kepada tona yang lebih gelap atau terang sehingga kesan tersebut menjadi semakin jelas.
Menerusi satu perkongsian di Facebook, seorang lelaki dikenali sebagai Nor Hisham berkongsi pengalamannya berdepan masalah tompok putih pada dinding rumah yang telah berlarutan hampir dua tahun.
Baca juga: Misi ‘Reset’ Rumah Selepas Banjir, Kena Ada Strategi Macam 9 Tip Mengemas Ini Barulah Tak Stres!
KOS EFEKTIF & MURAH HILANGKAN TOMPOK PUTIH DI DINDING RUMAH

Gambar: Nor Hisham
Menurutnya, ketika dinding masih dicat warna putih, masalah itu tidak begitu ketara, namun ia mula kelihatan jelas selepas ditukar kepada warna lain.
Cuba pelbagai cara sebelum jumpa solusi ringkas
Menurut Nor Hisham, dia sebelum ini telah mencuba beberapa kaedah untuk menghilangkan tompok putih berkenaan, termasuk menggunakan campuran cuka dan air.
Namun, kesannya hanya bersifat sementara sebelum tompok tersebut muncul semula.
Tidak berputus asa, dia akhirnya mencuba satu cara lain yang dianggap lebih berkesan dan menjimatkan kos. Ujian awal dilakukan pada bahagian kecil dinding berhampiran bingkai gambar dan selepas seminggu, hasilnya didapati memuaskan.

Gambar: Nor Hisham
Antara langkah yang dikongsikan ialah:
- Menggunakan minyak Safi (varian rose)
- Sapu minyak menggunakan kain bersih pada bahagian dinding yang bertompok
- Bau minyak tidak terlalu kuat, sebaliknya meninggalkan aroma mawar yang ringan
- Ujian awal dibuat pada kawasan kecil sebelum disapu pada keseluruhan dinding
Menurutnya, selepas melihat kesan positif pada bahagian kecil, dia terus mengaplikasikan kaedah sama pada keseluruhan dinding ruang tamu. Menariknya, kos yang diperlukan untuk kaedah ini adalah kurang daripada RM20, bergantung kepada saiz kawasan dan kerajinan sendiri.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai, khususnya dalam kalangan pemilik rumah yang pernah berdepan masalah sama. Ramai menganggap kaedah itu sebagai alternatif mudah sebelum mengambil keputusan mengecat semula dinding yang memerlukan kos lebih tinggi.
Walaupun kaedah ini dikongsi berdasarkan pengalaman peribadi, ia sedikit sebanyak membuka idea kepada pemilik kediaman bahawa masalah tompok putih pada dinding boleh diatasi dengan cara yang lebih ringkas dan kos efektif, asalkan dilakukan dengan teliti.
Sumber: Nor Hisham
FT Image: Nor Hisham
