Anak-anak kecil memang penuh dengan kreativiti dan keletah yang kadang-kadang tak terjangka. Fasa membesar mereka sering kali menguji kesabaran ibu bapa, lebih-lebih lagi bila anak conteng dinding dan melibatkan kebersihan rumah.
Bayangkan, baru sekejap leka, habis dinding, lantai dan perabot jadi ‘kanvas seni’.
ANAK CONTENG DINDING SAMPAI KE MUKA PENUH WARNA, IBU CUCI TANDAS SEKEJAP JE!

Itulah yang dialami oleh seorang ibu, Akma Samsudin, apabila rumahnya tiba-tiba bertukar wajah gara-gara kreativiti anak-anak. Video perkongsiannya di TikTok menjadi tular kerana ramai ibu bapa boleh ‘relate’ dengan kejutan yang berlaku.
Dalam rakaman tersebut, kelihatan anak-anak Akma bukan sekadar menconteng dinding, malah lebih kreatif iaitu dengan menumpahkan susu di lantai, karpet dan sofa diconteng, baju dan wajah adik kecil pula ‘dihias’ dengan pen warna. Projek ini jelas sekali hasil kerjasama adik-beradik, lengkap dengan ketua pasukan iaitu anak sulung dan anak kedua.
Lebih mengejutkan, semua itu berlaku hanya dalam tempoh 20 hingga 30 minit ketika si ibu sibuk mencuci tandas. Bayangkan, sekelip mata rumah boleh bertukar seperti studio seni moden.
“Kalau harta benda orang memang tangan mama melayang dulu. Tapi sebab harta benda sendiri, redho je lah,” selorohnya.
Akma turut menceritakan, sewaktu mereka tinggal bersama keluarga mertua atau ipar, anak-anak hanya conteng dinding bilik. Namun, sejak berpindah ke rumah sendiri, inilah kali pertama mereka ‘naik level’.
Ujian Sabar & Didikan Dengan Emosi

Menariknya, walaupun mengakui tidak mengamalkan gentle parenting, kali ini Akma mengambil pendekatan berbeza. Jika sebelum ini rotan dan jeritan jadi penyelesaian utama, kali ini dia memilih untuk bermain dengan emosi.
“Sebelum ni hanger dah patah, rotan pun dah banyak hancur. Kali ni saya senyap je, buat muka sedih dan masuk bilik. Saya cakap, malam ni semua tidur sendiri sebab mama dah tak ada mood. Masa tu la diorang meraung-raung minta maaf,” jelasnya.
Hasilnya, pendekatan itu lebih berkesan. Bukan saja anak-anak minta maaf, malah mereka sendiri berusaha mencuci sofa, lap karpet dengan tisu basah dan si kecil pun turut mandi. Walaupun hasilnya tak banyak beza, usaha mereka jelas menunjukkan rasa bersalah dan kesedaran.
Kisah Akma ini bukan sekadar hiburan buat warganet, tetapi juga peringatan bahawa setiap ibu bapa ada cara tersendiri mendidik anak. Kadang kala bukan rotan atau jeritan yang memberi kesan, tetapi pendekatan emosi yang membuatkan anak lebih faham tentang salah dan silap mereka.
@akma_samsudin Replying to @ruzilah_ ♬ original sound – Akma Samsudin
*Buat mak mak di luar sana, apa anda akan buat kalau anak sendiri berkelakuan sebegini? Mungkin dah bertukar jadi singa!
Baca juga: 10 Barang Rumah Ini DILARANG Letak Atas Peti Sejuk, No. 8 Paling Ramai Suka Kumpul & Biarkan!
Sumber: Tiktok @akma_samsudin
