Insiden tragis nahas bas Gerik yang meragut 15 nyawa dan mencederakan 33 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) beberapa minggu lalu terus meninggalkan kesan mendalam, bukan sahaja kepada mangsa yang terselamat, tetapi juga kepada ahli keluarga mereka.
Ramai dalam kalangan mereka masih dibelenggu trauma, dengan sebahagian mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius sehingga menyebabkan kecacatan kekal.
Baca juga: 11 Nahas Ngeri Bas Paling MENGGEMPARKAN Di Malaysia, Jumlah Terkorban Sangat Tinggi!
BEBERAPA MANGSA NAHAS BAS GERIK ALAMI CACAT KEKAL

Noraini (kiri) meluangkan masa menziarahi Nur Ain Najwa di PPR Kampung Gong Kemuntong, Besut pada Rabu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pihak kementerian kini giat menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti bentuk sokongan lanjutan yang wajar disalurkan.
“Beberapa mangsa mengalami kecederaan berat seperti patah kaki, kehilangan anggota badan serta kecederaan jangka panjang. Kes seperti ini akan diberikan perhatian khusus dan melalui proses penilaian rapi sebelum sebarang bantuan diberikan,” jelas beliau.
Menurutnya lagi, jumlah sebenar mangsa yang mengalami kecacatan kekal masih dalam semakan, memandangkan sebahagian besar masih menjalani rawatan di hospital, termasuk di Perak dan Terengganu.
“Kami mahu pastikan keadaan mereka stabil dahulu sebelum memulakan proses bantuan susulan. Ini bukan sesuatu yang boleh dilakukan tergesa-gesa, perlu ada pertimbangan yang teliti dan penuh empati,” katanya.
Sehubungan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan digerakkan untuk membuat penilaian terhadap semua mangsa, bagi memastikan tiada yang terlepas daripada menerima bantuan sewajarnya.
“Kita tidak mahu mana-mana mangsa yang mengalami kecederaan kekal terbeban baik dari segi emosi mahupun kewangan. Ini komitmen kami untuk bantu mereka kembali bangkit,” tambahnya.

Foto: BERNAMA
Baca lagi: “Arwah Anak Sulung Harapan Keluarga..”- Siswi UUM Maut Dihimpit Bas Kampus, Kecederaan Jantung
Sumber: Sinar Harian
