Tragedi yang meragut nyawa pastinya meninggalkan kesan mendalam, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan insan tersayang dan rakan seperjuangan. Begitulah yang dirasai oleh Nur Ain Najwa Mohd Ilias, salah seorang pelajar UPSI terselamat dalam nahas tragis di Gerik, Perak pada 9 Jun tahun lalu.
Kini, selepas melalui detik sukar, Nur Ain meluahkan rasa syukur apabila diberi kesempatan untuk kembali pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa.
PELAJAR UPSI TERSELAMAT NAHAS GERIK SYUKUR DAPAT SAMBUT AIDILFITRI

Foto: Berita Harian
Menurut Nur Ain Najwa, 24, kecederaan patah bahu kiri yang dialaminya sebelum ini telah pulih sepenuhnya. Lebih bermakna, dia masih diberi peluang untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta tahun ini.
Pengalaman hampir meragut nyawa itu menjadikan sambutan hari raya kali ini jauh lebih bermakna berbanding sebelumnya.
Walaupun fizikalnya sudah pulih, namun dari sudut emosi, Nur Ain mengakui trauma masih belum hilang sepenuhnya walaupun tragedi tersebut sudah berlalu lebih sembilan bulan.
Pada peringkat awal selepas kemalangan, beliau diberi kelonggaran untuk mengikuti kelas secara dalam talian bagi kursus Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Pendidikan. Namun, apabila kesihatannya semakin baik, beliau kembali mengikuti pengajian secara bersemuka sejak Oktober lalu.
Kini Lebih Berhati-Hati, Elak Naik Bas Waktu Malam

Foto: Berita Harian
Disebabkan pengalaman pahit itu, Nur Ain kini lebih berhati-hati terutamanya dalam soal perjalanan. Dia memilih untuk menaiki kereta setiap kali pulang ke kampus.
Namun, terdapat situasi di mana dia terpaksa menaiki bas. Dalam keadaan tersebut, dia hanya memilih perjalanan pada waktu siang kerana masih belum bersedia untuk menaiki bas pada waktu malam.
Perasaan cemas akan timbul apabila kenderaan bergerak laju, sekali gus mengimbau kembali tragedi tersebut. Untuk menenangkan diri, beliau mengamalkan istighfar dan cuba mengawal emosi dengan sebaiknya.
Titip Doa Buat Keluarga Mangsa
Dalam pada itu, Nur Ain turut menitipkan kata-kata semangat buat keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas tersebut. Menurutnya, kehilangan anak adalah satu ujian yang sangat berat untuk diterima, walaupun mereka pergi dalam keadaan yang mulia iaitu dalam perjalanan menuntut ilmu.
Walaupun masih bersedih, Nur Ain tekad untuk meneruskan perjuangan dan cita-cita murni sahabat-sahabatnya yang telah pergi, iaitu untuk menjadi seorang guru.
Beliau juga sentiasa mengingatkan diri untuk berfikiran positif dan tidak terlalu tenggelam dalam trauma demi menjaga kesihatan mental.
Kisah ini bukan sahaja tentang kehilangan, tetapi juga tentang kekuatan, ketabahan dan harapan untuk terus melangkah ke hadapan
Baca juga: Umrah Jadi Pengubat Duka, Syarikat Sinar Suci Travel & Tours Taja Ibu Bapa Mangsa Kemalangan UPSI
Sumber: Berita Harian
FT Images: Berita Harian
