Euforia Bola 2026
Famili

“Baru Tahu Beratnya Erti Korban” – 5 Tahun Embek Pergi, Kisah Kambing Kesayangan Ini Masih Buat Ramai Sebak

ibadah korban

Perkongsian menyentuh hati oleh Akyelrahim sempena Aidiladha ini membuka kembali penghayatan terhadap makna sebenar ibadah korban yang bukan sekadar penyembelihan haiwan tetapi simbol pengorbanan dan kasih sayang yang mendalam.

Akyelrahim berkongsi bahawa bapanya memelihara kambing dan Embek merupakan kambing pertama yang dibela keluarga mereka.

Baca juga: Fenomena Istiwa A’dzam Berlaku Hari INI Jam 5:18 Petang, Jangan Lupa Semak Arah Kiblat Dengan Tepat!

“MASA ITU BARU FAHAM ERTI IBADAH KORBAN YANG SEBENAR”

IBADAH KORBAN

Haiwan itu digambarkan sebagai jinak, manja serta mudah mendengar kata. Disebabkan terlalu rapat dengan Embek, dia mengakui sering menghabiskan masa bersama kambing tersebut setiap kali pulang ke kampung, berbeza dengan adik-beradiknya yang kurang gemar mendekati haiwan itu kerana baunya.

Menurutnya lagi, Embek merupakan kambing kesayangan seisi keluarga termasuk bapanya sendiri. Wagaimanapun, seminggu sebelum Aidiladha pada tahun 2021, dia dikejutkan dengan keputusan bapanya untuk menjadikan Embek sebagai haiwan korban.

“Kenapa Embek? Bukankah abah sayang?” katanya, menggambarkan persoalan yang bermain di fikirannya ketika itu.

Ibunya kemudian menjelaskan bahawa Embek sudah tua dan jika terus dipelihara, kemungkinan tiada lagi pembeli yang berminat, malah dikhuatiri mati begitu sahaja.

Walaupun diberikan penjelasan, dia mengakui dirinya masih belum mampu memahami keputusan tersebut.

Dalam perkongsian sama, Akyelrahim turut menceritakan detik sehari sebelum kambing kesayangannya dikorbankan.

Dia meluangkan masa dari pagi hingga petang bersama Embek, duduk di kandang, memeluk dan mengusap haiwan itu seolah-olah mengetahui perpisahan bakal berlaku.

Pada pagi Aidiladha, sebaik selesai menunaikan solat Subuh, dia sekali lagi pergi ke kandang dalam keadaan hari masih gelap. Berbekalkan cahaya lampu telefon, dia memeluk serta mengusap Embek buat kali terakhir.

“Saya tahu saya takkan mampu tengok waktu dia disembelih,” katanya.

Selepas solat sunat Aidiladha selesai, ahli keluarga dan kenalan bapanya mula berkumpul untuk urusan korban. Ketika orang lain menjalankan proses penyembelihan, dia memilih untuk berada di dapur menyiapkan makanan untuk mereka yang membantu.

Namun suasana ketika itu tidak kurang pilunya apabila dia dan dua orang adiknya dilaporkan sama-sama menangis secara diam-diam bagi mengelakkan diri daripada menjadi perhatian orang lain.

Air mata mengalir

IBADAH KORBAN

Kemuncak rasa kehilangan itu hadir apabila adiknya masuk ke rumah dengan air mata yang tidak berhenti mengalir.

Selepas urusan melapah selesai, bapanya juga dikatakan menghilangkan diri buat sementara waktu sebelum pulang semula pada waktu petang untuk menanam bahagian kepala kambing berkenaan.

Ketika itulah, keluarganya dimaklumkan bahawa bapanya pergi bersendirian ke tepi sungai bagi menenangkan diri dan menangis selepas melihat Embek disembelih.

Peristiwa itu akhirnya membuka mata Akyelrahim tentang makna sebenar ibadah korban dalam Islam.

Katanya, ketika itulah dia mula memahami konsep pengorbanan seperti yang ditunjukkan Nabi Ibrahim AS yang sanggup mengorbankan Nabi Ismail AS, insan yang paling disayangi demi memenuhi perintah Allah SWT.

“Dan abah, korbankan ternakan yang paling dia sayang,” katanya.

Tambah menyentuh hati, ketika proses menanam kepala kambing tersebut, dia mendengar suara bapanya bergetar memanggil nama manja Embek.

Walaupun sudah lima tahun berlalu, kenangan terhadap Embek masih segar dalam ingatan keluarganya.

Baca juga: “Kena Cium Dinding Dulu Ke Untuk Buang Lipstick?” Kesan Gincu Di Dinding Masjid Cetus Tanda Tanya Pengunjung

Sumber: Threads Akyelrahim

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×